UMS nafi pelajar antarabangsa jejas peluang anak tempatan

UMS nafi pelajar antarabangsa jejas peluang anak tempatan

KASIM MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menafikan dakwaan bahawa peningkatan pelajar antarabangsa di universiti awam menjejaskan peluang pelajar tempatan, khususnya anak-anak Sabah.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, dakwaan peningkatan pelajar antarabangsa sehingga mengorbankan tempat pelajar tempatan adalah tidak tepat dan tidak disokong oleh data serta realiti sebenar.

Beliau berkata, kesimpulan sedemikian tidak boleh dibuat hanya berdasarkan jumlah keseluruhan kemasukakn ke universiti kerana angka itu merangkumi pelbagai kategori pengajian.

Katanya, ia termasuk prasiswazah, pascasiswazah, program mobiliti, pengajian dalam talian dan program jangka pendek yang mempunyai mekanisme kemasukan serta objektif berbeza.

“Data rasmi UMS menunjukkan kemasukan pelajar tempatan meningkat daripada 18,286 orang pada tahun 2024 kepada 20,287 orang pada tahun 2025, iaitu pertambahan 2,001 orang atau 10.94 peratus.

“Dalam tempoh yang sama, enrolmen pelajar antarabangsa turut meningkat secara sederhana daripada 712 kepada 873 orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kasim berkata, fakta itu jelas menunjukkan pertambahan pelajar antarabangsa berlaku seiring dengan peningkatan kemasukan pelajar tempatan dan bukannya menggantikan mereka.

Beliau berkata, pengambilan pelajar antarabangsa bagi program prasiswazah juga dikawal secara berhemah dan lazimnya tidak melebihi sekitar 10 peratus daripada enrolmen.

Katanya, langkah itu bagi memastikan keutamaan kepada pelajar tempatan sentiasa dipelihara.

“Sebagai universiti yang berpaksikan Sabah dan Borneo, UMS mempunyai tanggungjawab besar untuk membuka seluas-luasnya akses pendidikan tinggi kepada anak-anak Borneo, termasuk dari kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Komitmen ini tidak pernah berubah dan akan terus menjadi teras kepada perancangan akademik universiti,” katanya.

Kasim berkata, kehadiran pelajar antarabangsa merupakan sebahagian daripada agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara yang digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau berkata, agenda itu bertujuan memperkukuh kualiti akademik, penyelidikan, jaringan antarabangsa serta reputasi universiti Malaysia di peringkat global tanpa menjejaskan hak dan peluang pelajar tempatan.

Katanya, pengantarabangsaan juga menjadi antara indikator penting dalam penilaian universiti bertaraf dunia seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE).

“Cabaran utama pengambilan pelajar di universiti awam bukan disebabkan kehadiran pelajar antarabangsa, sebaliknya terdapat program tertentu khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang masih belum dapat memenuhi sasaran pengambilan.

“Inisiatif pengantarabangsaan tidak sekali-kali mengetepikan rakyat Sabah atau Malaysia. Sebaliknya, ia menarik dunia ke negeri Sabah dengan membawa bersama limpahan ekonomi.

“Ini secara tidak langsung memberi sumbangan kepada pembangunan negeri melalui pemerkasaan sektor pelancongan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, UMS akan terus memastikan keseimbangan antara memenuhi amanah sebagai universiti awam kepada rakyat Malaysia dan usaha mengangkat nama Sabah sebagai hab ilmu yang disegani di rantau ini.

“Oleh itu, sebarang perbahasan mengenai pengantarabangsaan pendidikan tinggi sewajarnya berpaksikan fakta dan data, bukan persepsi yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN