Pemimpin Hizbullah, Hamas, Houthi hadiri upacara pengebumian Khamenei - Utusan Malaysia

Pemimpin Hizbullah, Hamas, Houthi hadiri upacara pengebumian Khamenei

SEJUMLAH besar penduduk memberi penghormatan terakhir untuk Khamenei. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Wakil-wakil daripada kumpulan pejuang yang disokong Teheran menghadiri upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Sabtu menyaksikan utusan dari Hizbullah dan Hamas turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Abbas Araghchi, lapor media tempatan.

Pada Sabtu, puluhan ribu rakyat berhimpun di kompleks Grand Mosalla di ibu negara bagi memberi penghormatan terakhir kepada  Khameni yang memegang kuasa mutlak dalam menentukan dasar-dasar utama negara sepanjang tempoh pemerintahannya.

Teheran sejak bertahun-tahun lalu menyalurkan sokongan kepada kumpulan Hamas di Palestin, Hizbullah di Lubnan dan Ansarallah di Yemen atau lebih dikenali sebagai Houthi di mana kesemuanya dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat (AS) serta negara-negara Barat lain.

Iran menggelar rangkaian sekutu anti-Israel tersebut yang turut merangkumi kumpulan bersenjata di Iraq, sebagai paksi penentangan.

Delegasi Hizbullah ke Teheran diketuai oleh pegawai kanan yang juga bekas menteri, Mohammed Fneish dan disertai oleh beberapa pegawai lain dan ahli keluarga kepada anggota yang terkorban atau tercedera, lapor kumpulan itu kepada media Lubnan.

Sementara itu, Hamas dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa delegasi mereka diketuai oleh Ketua Biro Politiknya, Mohammed Darwish dan dianggotai oleh ahli biro lain termasuk Bassem Naim.

Pada Julai 2024, Ismail Haniyeh, yang ketika itu merupakan pemimpin politik Hamas telah terbunuh di kediamannya di Teheran dalam satu operasi Israel selepas beliau menghadiri upacara pelantikan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.

Turut menghadiri upacara pada Sabtu di Teheran ialah Ziyad al-Nakhalah, iaitu pemimpin kumpulan pejuang Palestin iaitu sekutu Hamas, Jihad Islam dan ahli kanan Houthi, Dhaif Allah al-Shami, menurut laporan stesen televisyen kerajaan.

Sebahagian besar pegawai dan orang kenamaan asing telah memberi penghormatan terakhir pada Jumaat kepada Khamenei, yang memerintah Iran sejak 1989. Beliau terbunuh pada usia 86 tahun bersama-sama beberapa ahli keluarga dan pegawai tertinggi dalam satu serangan udara AS-Israel pada 28 Februari lalu.

Selepas diletakkan di dalam dewan untuk  pemimpin kanan Iran dan pegawai asing memberi penghormatan terakhir, keranda Khamenei kemudian dipamerkan di bawah ruang kaca di kawasan terbuka, bersama-sama keranda anak perempuan, menantu lelaki, menantu perempuan serta cucu perempuannya yang berusia 14 bulan yang kesemuanya terkorban dalam serangan udara berkenaan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN