BATU PAHAT: Pengundi di Johor digesa memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri bagi memastikan pelbagai isu rakyat dapat ditangani secara lebih berkesan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini Johor masih ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa gagal mengutamakan kepentingan rakyat termasuk isu kenaikan harga rumah yang semakin membebankan.
Katanya, sudah tiba masanya pendekatan baharu diperkenalkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat Johor terus terbela dan masalah yang berlarutan dapat diselesaikan secara menyeluruh.
“Kerajaan Persekutuan kita jaga, kerajaan mereka (Johor) kita jaga. Projek pembangunan dah banyak di Johor, tetapi isu rakyat belum selesai.
“Saya tengok di Johor, pegawai kerajaan, polis dan tentera tapi rumah tiada sedangkan pembangunan naik berbilion ringgit. Isu rumah rakyat mahal, ini tugas kerajaan negeri tapi tak buat. Jadi, saya kena masuk campur minta kerajaan negeri bersama, kita boleh bangunkan rumah rakyat.
“Kita kena ada tadbir urus yang baik supaya Johor bertukar jadi lebih baik demi kepentingan rakyat. Anda dapat STR (Sumbangan Tunai Rahmah), SARA (Sumbangan Asas Rahmah) tapi kena beratur tak?” katanya sewaktu berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama PMX di kedai kopi Ah Foo Senggarang di sini, hari ini.
Turut hadir, tiga calon PH tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Felicia Poh (Penggaram), Onn Abu Bakar (Senggarang) dan Mohamad Yazid Bakri (Rengit).
Selain itu, bekiau turut menyeru semua pengundi supaya bersedia melakukan perubahan politik kerana hanya melalui langkah itu PH berpeluang mentadbir negeri.
Katanya, beliau sendiri tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengubah keadaan, namun tetap berusaha keras membantu rakyat serta membanteras amalan penyelewengan dana awam.
“Saya tak boleh ubah semuanya. Saya boleh kerja kuat, boleh bantu rakyat, boleh hentikan orang curi duit. Tetapi sekarang ada yang terlibat rasuah pun diangkat sebagai pemimpin.
“Adakah saya ambil tanah? Ambil projek? Tidak. Kita mahu jaga Johor kerana negeri ini bukan negeri miskin, tetapi negeri kaya dengan rakyat yang masih ramai hidup susah.
“Kita selesaikan masalah rakyat, lebuh raya kita selesai, tapi soal rakyat rumah dia makan minum bantuan patut kita perlu bantu,” katanya.
Beliau berkata, Johor perlu seiring dengan pentadbiran di peringkat Persekutuan dan PH wajar diberi peluang untuk membawa perubahan.
Katanya, kehadirannya dalam siri kempen adalah kerana keyakinan bahawa negeri itu berpotensi untuk menjadi lebih baik sekiranya ditadbir dengan pendekatan yang tepat.
“Ini kerana, masih terdapat pelbagai isu yang perlu diberi perhatian termasuk kemudahan rumah ibadat seperti masjid dan surau di beberapa kawasan di Johor.
“Jalan pula tanggungjawab negeri, yang tanggungjawab persekutuan kita dah buat berpuluh-puluh bilion.
“Rakyat mesti mengangkat pemimpin pandai dan berani bagi membolehkan Malaysia selamat serta sayang kepada kaum di negara ini,” katanya. – UTUSAN










