KUALA LUMPUR: Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dalam SRC International Sdn. Bhd. bertujuan untuk melaksanakan kehendak pemegang saham tunggal syarikat pelaburan strategik negara tersebut iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut bekas pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail, kebiasaannya, BOD akan diberikan kebebasan untuk menunjukkan kepakaran dan memberikan pendapat dalam menentukan hala tuju syarikat.
“(Bagaimanapun) apabila kami dilantik (sebagai BOD) dalam syarikat baharu ini, kami tidak diberikan `kanvas kosong’.. Ia bukan seperti ‘baiklah BOD, beritahu kami (syarikat) apa yang perlu dilakukan sebaliknya apa yang kami terima ialah okay, awak telah dilantik sebagai BOD dan ini adalah kemahuan pemegang saham’,”kata Ismee yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji.
Ismee berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika memberi keterangan sebagai pihak ketiga dalam saman sivil SRC International bagi menuntut ganti rugi RM1.18 bilion daripada bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil yang melarikan diri keluar negara pada tahun 2018.
Selain itu, Ismee berkata, beliau menjadi marah terhadap Nik Faisal apabila mengetahui syarikat terbabit tidak menghantar laporan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Terdapat laporan daripada The Edge yang menyatakan SRC INternational tidak menghantar laporan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013 atau memohon sebarang lanjutan masa kepada SSM kerana laporan itu sepatutnya dihantar pada September 2012.
“Saya beritahu Nik Faisal yang beliau perlu menghantar surat kepada The Edge bagi menyangkal laporan tersebut tetapi Nik Faisal beritahu saya, laporan media itu adalah betul dan SRC International masih belum menghantar laporan kewangannya.
“Pada ketika ini saya menengking Nik Faisal dan mengambil inisiatif untuk memastikan laporan kewangan itu ditutup.Nik Faisal tenangkan saya dengan menyatakan semuanya dalam keadaan baik. Kita tak sangka Nik Faisal penipu,”kata Ismee.
Dalam tuntutan yang difailkan pada 7 Mei 2021, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.
Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral, Ismee dan Che Abdullah.
SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.
SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainal Abidin bersambung Isnin ini.- UTUSAN










