PETALING JAYA: Pelaksanaan insurans perubatan perlu menjadi antara pertimbangan dalam pelan Reformasi Pembiayaan Penjagaan Kesihatan bagi mengukuhkan penjagaan sektor kesihatan awam.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, usaha itu dapat membantu rakyat negara ini terutamanya golongan B40 dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan awam.
Namun, katanya, mekanisme pelaksanaan inisiatif itu memerlukan perincian dan kajian yang lebih mendalam sebelum dilaksanakan.
“Dengan insuran perubatan mungkin kita boleh memberi subsidi premium kepada kumpulan B40 supaya mereka membayar cuma sebahagian kecil daripada keseluruhan insurans dan subsidi sederhana kepada M40 dan tidak ada subsidi kepada T20.
“Tetapi, ini memerlukan kajian lebih mendalam bukan sahaja di peringkat Kementerian Kesihatan, malah pakar ekonomi, sektor perubatan dan pihak berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Kementerian Kesihatan sebelum ini dilapor bakal mengumumkan pelan Reformasi Pembiayaan Penjagaan Kesihatan bertujuan memperkukuh dan menambah baik sistem penjagaan kesihatan di negara ini, dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, agenda reformasi itu antara lain menumpukan cara kreatif dan inovatif membelanjakan bajet tahunan yang diumumkan kerajaan.
Beliau berkata, ini dapat menambah kedudukan kewangan kementerian bagi kebaikan sistem penjagaan kesihatan supaya tidak tergugat dengan status fiskal negara.
Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, kerajaan juga perlu meneliti semula untuk meningkatkan kutipan caj fi perkhidmatan kesihatan, namun kenaikan itu perlu dilakukan secara mendadak supaya ia menjadi signifikan.
Katanya, ini kerana 90 peratus pembiayaan di sektor kesihatan awam dibiayai oleh hasil kutipan cukai yang disalurkan Kementerian Kewangan.
“Sekarang kutipan RM1 untuk pesakit luar am dan RM5 untuk pesakit luar terlalu rendah, tetapi apabila kutipan itu dinaikkan, ini akan membebankan rakyat berikutan masalah inflasi dan kenaikan harga diesel, jadi ini perlu pertimbangan lebih mendalam,” katanya.
Dalam pada itu, Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, kerajaan disaran melaksanakan skim Perkhidmatan Pesakit Bayaran Penuh (FPP) secara lebih menyeluruh.
Skim FPP diperkenalkan bagi mengurangkan masalah penghijrahan Pegawai Perubatan Pakar (PPP) ke hospital swasta apabila PPP dapat menjana pendapatan tambahan menerusi sebahagian bayaran perubatan yang dikutip daripada skim ini.
Dr. Muhammad Yassin berkata, dana tambahan melalui jalan alternatif perlu diteroka bagi kedudukan kewangan penjagaan kesihatan.
Katanya, ia supaya wang tambahan itu boleh disalurkan ke Kementerian Kesihatan bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan sektor terpenting itu.
“Antara yang perlu terkandung dalam pelan reformasi ini membuat sistem perkhidmatan pesakit bayaran penuh (full paying patient) secara lebih menyeluruh yang boleh menjadi sumber menjana pendapatan.
“Selain itu, mengurangkan kos-kos seperti ubat dan peralatan dengan mengamalkan proses tender yang lebih telus dan terbuka,” katanya.
Tambah Dr. Yassin, caj fi perkhidmatan RM1 untuk pesakit luar am dan RM5 untuk pesakit luar yang menggunakan perkhidmatan pakar perlu ditingkatkan sejajar dengan reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan itu.
Katanya, caj fi perkhidmatan yang diperkenalkan sejak pertengahan 1980-an itu harus dinaikkan sejajar dengan perkembangan semasa.
“RM10 paling minimum, namun bagi kumpulan b40 mungkin akan ada mekanisme untuk tidak membebankan untuk mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Dr. Yassin berkata, pelan reformasi itu juga perlu memberi perhatian untuk menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.
“Suruhanjaya perkhidmatan kesihatan yang mempunyai kuasa untuk mengambil staf mengikut keperluan perkhidmatan,” tambahnya. – UTUSAN










