GEORGE TOWN : Seorang kontraktor penyelenggaraan dan anak saudaranya yang juga merupakan pembantu kedai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana bergaduh di tempat awam, Sabtu lalu.
Tertuduh, Eww Boon Par, 55 dan Adam Tan Aik Kah,31, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan, Boon Par dan Adam didakwa melakukan gaduh gempar di hadapan Maga Restaurant (bersebelahan snooker), Jalan Van Praagh, Jelutong yang merupakan satu tempat awam kira-kira pukul 6.30 petang, Sabtu lalu.
Kedua-dua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ng Ziyang.
Ketika prosiding, Syairah Aqilah menawarkan wang jaminan sebanyak RM1,000 kepada setiap tertuduh.
Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh kemudian meminta mahkamah menawarkan wang jaminan yang paling rendah kepada kedua-dua mereka.
Mohamad Azlan seterusnya menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Beliau bagaimanapun menetapkan hukuman ke atas kedua-duanya tertuduh hanya akan diputuskan pada 22 Julai nanti selepas fakta kes berkenaan dilengkapkan.-UTUSAN










