GEORGE TOWN : Seramai 11 lelaki termasuk seorang pelajar kolej mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyertai rusuhan dan memiliki objek yang boleh digunakan sebagai senjata pada 29 Ogos lalu.
Kesemua tertuduh, Mohamad Nun Mohamad Jupri, 34; V Rathakisnan, 22; Soman Sri Mahen Deren, 19; Muhammad Haikal Mohammad Rafiq, 19; Chad Sebastian George Albert, 19; Elijah Yong, 19; Cheow Junnuo, 24; Tony Yen Chun Yun, 19; R. Divagar, 20; Muhammad Amirul Hafiz Abdullah, 21, dan Ng Chern Yeow, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Idayu Salim.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara bersama telah hadir dan menyertai rusuhan dan semasa rusuhan itu memiliki benda yang boleh memudaratkan yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 2.45 pagi, 29 Ogos 2026 di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Min Cawangan Kedua, Air Itam.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, kesemua mereka berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli sementara Tony Yen diwakili peguam Edric Loo manakala yang lain diwakili peguam, K Mahendran.
Mahkamah seterusnya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menangguhkan kes sehingga 19 Oktober untuk serahan dokumen selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Dalam kejadian pada 29 Ogos lalu, seramai 23 individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes merusuh menggunakan senjata di hadapan sebuah SJKC di Ayer Itam.
Pergaduhan dipercayai berpunca daripada pertikaian akibat hutang susulan satu pertemuan di sebuah medan selera di Paya Terubong yang turut membawa kepada kejadian pelanggaran dengan kereta sehingga menyebabkan ada mangsa yang mengalami kecederaan.-UTUSAN










