KLANG: Kawasan perumahan flat Bandar Sultan Suleiman di sini, yang tular sebagai koloni warga asing digempur Jabatan Imigresen Selangor secara besar-besaran petang semalam.
Ketika serbuan, kebanyakkan mereka menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermain bola sepak dan membeli belah di pasar malam kawasan tersebut sebelum cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Malah, warga asing termasuk wanita itu bertempiaran melarikan diri termasuk sanggup bersembunyi di bawah kenderaan bagi mengelak dicekup.
Cubaan itu bagaimanapun gagal membuahkan hasil apabila kawasan itu dikepung dan dikawal ketat pasukan penguat kuasa Imigresen termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), kira-kira pukul 5 petang.
Pengarah Imigresen negeri, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, Ops Bandar Sultan Suleiman itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama tiga bulan mengenai lambakan warga asing di taman perumahan tersebut.
Menurutnya, serbuan itu juga hasil aduan dan pendedahan penduduk menerusi aplikasi Tik Tok yang rimas dengan kehadiran migran terutama hujung minggu.
“Siasatan awal mendapati warga asing itu rata-ratanya bekerja di kilang kawasan sekitarnya dan tinggal di flat tersebut. Justeru, kita menjalankan serbuan bagi memeriksa secara menyeluruh kesalahan Imigresen yang dilakukan mereka,” katanya selepas operasi tersebut.

Tambah Khairrul Aminus, pihaknya setakat ini menahan seramai 1,700 warga asing bagi proses dokumentasi.
“Pemeriksaan awal mendapati beberapa kesalahan dikesan antaranya melibatkan tinggal lebih masa, tiada permit sah dan menyalahgunakan pas.
“Namun, mereka antaranya warga Indonesia, India, Myanmar dan Nepal itu tidak kesemuanya ditahan berikutan proses dokumentasi masih dijalankan ketika ini,” jelasnya.
Sementara itu, penduduk yang mahu dikenali sebagai Asri, 30-an, berkata operasi berkenaan diharap tidak terhenti kerana kawasan berkenaan dipenuhi warga asing susulan beberapa blok rumah yang dijadikan penempatan mereka.
“Mereka tidak mengganggu penduduk namun kami tidak selesa melihat sikap segelintir yang mabuk dan pengotor. Justeru, operasi seumpama ini amat dinantikan dan perlu dilakukan secara kerap termasuk rondaan oleh pihak berkuasa,” ujarnya. – UTUSAN










