Kerajaan Madani terbuka terhadap sebarang himpunan bantahan

Kerajaan Madani terbuka terhadap sebarang himpunan bantahan

SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua dari kiri) pada Majlis Peluncuran Program Xpresi GenTa (Generasi Kita) di Sungai Bakap, Nibong Tebal, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kerajaan menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman termasuk mengadakan himpunan yang bertujuan mengkritik atau menegur pemimpin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keterbukaan itu terbukti menerusi himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.

“Demonstrasi ini mengesahkan bahawa Malaysia di bawah Kerajaan Madani menghormati hak untuk berkumpul, hak untuk berhimpun secara aman serta hak untuk menegur dan mengkritik pemerintah.

“Jadi, itu gambarannya apabila kita (kerajaan) beri kebebasan dan peluang tanpa ganggu gugat. Kelompok ini (penganjur himpunan) yang menyuarakan bahawa mereka disekat, tak ada kebebasan bersuara, kebebasan yang mereka nikmati hari ini adalah bukti bahawa pendekatan madani di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka atau menghormati hak setiap rakyat walaupun beliau (sendiri) dimaki hamun (oleh rakyat),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai himpunan demo tersebut semasa menghadiri Majlis Peluncuran Program Xpresi GenTa (Generasi Kita) di Sungai Bakap di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan, berdasarkan laporan yang diterimanya, himpunan tersebut hanya disertai oleh kira-kira 100 orang iaitu hanya membabitkan kelompok kecil masyarakat.

“Saya ingat dalam 30 juta rakyat Malaysia ada 100,000 yang turut serta, rupanya 100 orang sahaja (yang terlibat). Itu angka yang ‘menakjubkan’,” sindir beliau.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli turut senada dengan Saifuddin dan menyifatkan penganjur ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ di Putrajaya itu mempunyai hak untuk mengadakan protes atau bantahan.

Malah, Rafizi secara berseloroh turut berkata, beliau tidak mempunyai masalah andai kumpulan tersebut mahu berhimpun sebagai tanda protes di hadapan kucingnya.

“Sebagai anggota pentadbiran (di bawah) Kerajan Madani, saya merasakan itu hak masing-masing. Dia nak protes depan kucing saya pun bolehlah protes. Tiada masalah,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN