Kenderaan Thailand isi diesel di sempadan negara berkurangan

Kenderaan Thailand isi diesel di sempadan negara berkurangan

SUASANA di salah sebuah stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand yang lengang tanpa kehadiran kenderaan negara jiran ketika tinjauan dibuat di Changlun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHANGLUN: Kenderaan berpendaftaran Thailand yang menggunakan diesel dilihat berkurangan mengisi bahan api itu susulan perbezaan harga hanya sekitar 80 sen sehingga RM1 seliter ketika ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di lima buah stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam mendapati, hanya kenderaan tempatan yang lebih banyak mengisi diesel terutamanya jenis pacuan empat roda.

Berbeza dengan harga diesel Malaysia yang jauh lebih murah sebelum ini, kelibat kenderaan asing mengisi minyak di negara ini ibarat pesta walaupun mereka hanya dibenarkan mengisi sebanyak 20 liter setiap kali pengisian.

Seorang pekerja sebuah stesen minyak memberitahu, pelanggan dari Thailand tidak banyak yang mengisi diesel hari ini berkemungkinan mereka sudah mengetahui harga baharu ditetapkan pada RM3.35 sen seliter.

“Kalau berbanding sebelum kenaikan harga diesel, memang tidak kurang empat ke lima buah kenderaan asing terutama pikap akan datang mengisi diesel dalam tempoh sejam.

“Tetapi hari ini hanya ada sebuah pikap dari sana yang mengisi diesel dalam tempoh sejam sekitar pukul 1 tengah hari ini,” katanya ketika ditemui.

Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sidang akhbarnya mengumumkan, harga diesel di stesen runcit di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada harga RM3.35 sen seliter bermula tengah malam tadi.

Sementara itu, seorang penduduk berhampiran sempadan, Alias Zainol, 42, berkata, harga diesel Malaysia masih murah berbanding Thailand walaupun subsidi bahan api itu ditarik balik.

“Tambahan pula faktor mata wang Ringgit yang masih rendah berbanding Thai Baht, penduduk Thailand yang tinggal sekitar Danok atau Sadao masih berbaloi untuk datang mengisi minyak di sini,” ujarnya.

Sementara itu, di TUMPAT: Penyasaran subsidi diesel yang dikuatkuasakan semalam menyaksikan tiada lagi kelibat kenderaan asing khususnya dari Thailand mengisi bahan api tersebut.

Tinjauan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Kubor tidak ada kenderaan dari negara jiran itu berbuat demikian seperti sebelum ini.

Bukan itu sahaja, kenderaan milik rakyat tempatan juga dilihat kurang rancak membuat isian berbanding sebelum penyasaran subsidi dikuatkuasakan sehari sebelum itu.

Seorang penduduk, Mohd. Aiman Mat Rashid, 34, berkata, jumlah kenderaan terutama trak pikap serta pacuan empat roda dilihat kurang mengisi bahan api tersebut semalam.

“Mungkin mereka dah isi malam tadi menyebabkan pagi ini hanya kenderaan yang menggunakan petrol yang masuk ke stesen minyak untuk membuat isian.

“Begitu juga dengan kenderaan dari Thailand,” di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN