Kenaikan harga diesel menyebabkan kejutan ekonomi - Utusan Malaysia

Kenaikan harga diesel menyebabkan kejutan ekonomi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kenaikan harga minyak diesel yang berkuatkuasa pada Isnin lalu didakwa menyebabkan kejutan ekonomi di seluruh negara selain kesan gandaan atau multiplier effect di peringkat termasuk sosial.

Malah, penarikan subsidi terhadap bahan api oleh kerajaan turut dijangka membawa kesan terhadap kadar inflasi negara.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri, berkata kerajaan menyelesaikan kaedah pengagihan dan penyasaran semula subsidi seperti pemberian Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) sebelum melaksanakan dasar tersebut.

Menurutnya, subsidi RM200 melalui kaedah itu dilihat tidak jelas pelaksanaannya serta meninggalkan banyak perincian yang mengakibatkan keciciran agihan kepada golongan rentan seperti petani dan pesawah.

“Sebelum ini, kenaikan harga minyak pernah berlaku pada tahun 2010 di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan kenaikan sebanyak 5 sen seliter. Kenaikan pada skala sekecil itu sahaja pun melonjakkan Indeks Harga Pengguna dan Pengeluar (IHPP) masing-masing pada kadar sebanyak 3.5 dan 14.3 peratus pada waktu itu.

“Hari ini pula, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghidangkan rakyat dengan kenaikan yang jauh lebih besar iaitu 55.8% menjadikan harga bahan api itu kini dijual pada harga RM3.35 setiap liter.

“Kenaikan harga diesel dalam skala yang sangat besar dan secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelusuk negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau memberi amaran akan berlaku gelombang kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang tidak terpandu di semua sektor ekonomi.

Dalam pada itu, Ab. Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras menegaskan kerajaan dilihat bersikap tidak acuh terhadap kesan besar yang melanda rakyat dan negara akibat daripada tindakan drastik penarikan semula subsidi diesel.

“Sekiranya tindakan kerajaan PH adalah murni untuk mengelak penyeludupan, ketirisan diesel bersubsidi dan pemberian subsidi diesel secara bersasar, kami menggesa supaya Kerajaan PH mengkaji semula langkah itu dan memperkenalkan kaedah yang lebih berfokus untuk dilakukan secara berperingkat.

“Di samping itu, kerajaan juga perlu memastikan supaya sebarang mekanisme yang dirangka bagi tujuan tersebut lengkap sebelum dilaksanakan supaya tidak menzalimi rakyat Malaysia.

“Tindakan drastik penarikan semula subsidi diesel ini yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa mempedulikan kesukaran rakyat. Kerajaan PH sedang menjerumuskan negara dan rakyat ke dalam lubang krisis ekonomi yang sangat besar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN