'Kempen padat, saya cuma tidur tiga jam sehari'

‘Kempen padat, saya cuma tidur tiga jam sehari’

JOOHARI (berbaju putih) ketika menyantuni peniaga-peniaga di Nibong Tebal, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin mendedahkan bahawa beliau hanya tidur kira-kira tiga jam setiap hari susulan jadual kempennya yang padat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Joohari berkata, beliau bagaimanapun sudah terbiasa dengan keadaan itu sejak turun padang berkempen mulai hari penamaan calon pada 22 Jun lalu.

“(Walaupun) saya tidur lebih kurang tiga jam sehari, saya turut mengambil makanan tambahan (supplement) untuk meningkatkan stamina supaya lebih bertenaga pada setiap hari.

“Jadual kempen yang sudah memasuki hari ketujuh ini benar-benar padat dan kebiasaannya, setiap hari sekurang-kurangnya 12 program kempen dilaksanakan, namun, jumlah itu akan berganda pada hujung minggu nanti,” katanya selepas sesi ‘walkabout’ di Pasar Malam Sungai Duri, Nibong Tebal di sini, semalam.

Mengulas lanjut, bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu berpandangan, kempen PH dan Kerajaan Perpaduan yang berlangsung ketika ini semakin diterima positif oleh para pengundi.

“Ramai masyarakat setempat yang ditemui menyatakan kepercayaan mereka terhadap saya, malah, saya percaya kalau momentum ini berterusan, kita akan dapat mencapai kejayaan dalam PRK kali ini.

“Saya nampak tidak adalah yang menolak dan semua memberikan sokongan sekali gus menaikkan semangat saya untuk terus memperhebatkan kempen berbekalkan masa yang berbaki ini,” katanya.

Lawan Joohari dalam pertembungan satu lawan satu untuk kerusi itu ialah calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal sebelum itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas selepas menwaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN