Kemenangan PN di Sungai Bakap penting untuk sampaikan mesej pada kerajaan - Utusan Malaysia

Kemenangan PN di Sungai Bakap penting untuk sampaikan mesej pada kerajaan

ASRUL AIMRAN ABD. JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap disifatkan cukup penting bagi menyampaikan mesej atau isyarat kepada kerajaan Perpaduan khususnya berkaitan pelbagai isu yang membebani rakyat pada masa ini.

Ketua Penerangan Pas negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, jika PN menang di kerusi berkenaan ia bakal membuktikan isyarat rakyat yang tidak berpuas hati terhadap beberapa isu membabitkan kerajaan pada masa kini khususnya berkaitan kenaikan diesel dan kos sara hidup selain kenaikan harga barangan.

“Apa-apa keputusan dalam PRK ini akan memberi kesan terhadap perkembangan semasa di peringkat negara.

“Sebab itu kita lihat ada cubaan menangguhkan PRK di DUN Nenggiri dan beberapa kawasan lain sekali gus menunjukkan kerajaan pada masa ini tidak berani untuk melaksanakan pemilihan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Abidin Ismail yang mewakili PN dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Sementara itu, Asrul Aimran berkata, jentera PN dari seluruh negeri ini akan memberikan sokongan penuh bagi membantu kemenangan calon gabungan berkenaan.

Katanya, jentera parti itu dari Perlis juga telah menyusun beberapa perancangan dalam misi untuk mengekalkan kemenangan calon mereka di kerusi berkenaan.

Beliau berkata, bagi peringkat wakil rakyat negeri ini, beberapa perancangan turut disusun bagi membolehkan mereka bersama-sama turun padang membantu calon PN.

“Kita juga akan lihat terdapat faktor-faktor lain cuba dibangkitkan oleh pihak lawan tapi itu kita rasa biasalah tempoh kempen, namun yang penting adalah untuk jentera jayakan kemenangan buat calon PN,” katanya.

Dalam pada itu, Asrul berkata, komitmen ditunjukkan oleh Allahyarham Nor Zamri sebelum ini telah membuatkan rakyat mengenali beliau begitu rapat walaupun tidak sampai setahun tempoh perkhidmatannya.

Katanya, Allahyarham telah meninggalkan satu legasi yang cukup baik khususnya buat penduduk setempat di sana.

“Boleh dikatakan tiap rumah yang kita turun dalam kempen kali ini mengenali beliau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×