KANGAR: Kelab AI Robotic Education (AiRED) yang ditubuhkan bakal memberi pendedahan awal kepada sekolah untuk bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk menghadapi dunia era kecerdasan buatan (AI).
Penubuhan kelab tersebut adalah melalui kerjasama Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Jabatan Pendidikan negeri dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan kelab berkenaan di Hotel Putra Regency di sini baru-baru ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda bertitah, pemahaman dan penguasaan terhadap teknologi AI dan robotik adalah suatu keperluan yang tidak dapat diabaikan dalam dunia yang semakin canggih dan moden ini.
Titah baginda, inovasi ini telah merevolusikan pelbagai bidang kehidupan daripada perubatan hingga kepada industri dan pengangkutan.
“Pasaran kerja tidak lagi tertumpu kepada bidang-bidang tugasan yang memerlukan dokumentasi menggunakan helaian kertas dan pena sahaja namun turut mengambil kira kebolehan dan pengetahuan dalam penggunaan teknologi,” titah baginda.
Baginda juga berharap agar AiRED yang ditubuhkan itu akan menjadi platform yang efektif dalam melahirkan generasi muda khususnya di Perlis yang celik teknologi, kreatif, dan inovatif.
Sementara itu, Pengerusi FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, kelab tersebut akan menjadi platform bagi pelajar meneroka dan mengembangkan minat mereka dalam bidang AI dan robotik.
“Unimap melalui IDERIA Sdn. Bhd. telah melatih 32 orang guru daripada 15 buah sekolah menengah dan tujuh sekolah rendah seluruh negeri ini. Guru-guru ini akan menjadi tenaga pengajar yang akan melaksanakan modul pembelajaran bersama-sama 160 pelajar tingkatan dua daripada lapan buah sekolah menengah terpilih di Perlis.
“Turut terlibat ialah 24 orang pensyarah Unimap daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik yang menyokong dalam pembangunan modul dan menjadi pembimbing bersama pelaksanaan aktiviti di sekolah,” katanya. – UTUSAN










