KUALA LANGAT: Kekosongan kerusi enam ahli parlimen yang disandang oleh wakil daripada Parti Bersatu akan ditentukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat berdasarkan peruntukan-peruntukan dalam Akta Anti Lompat Parti 2022 dan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menunggu keputusan daripada Tan Sri Johari Abdul sekiranya notis pengosongan kerusi dibawa ke sidang Parlimen pada hujung bulan ini.
“Kita serahkan budi bicara kepada speaker dan tunggu persidangan Parlimen pada pertengahan (hujung) bulan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2024, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, mengikut Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan, kerusi tujuh wakil rakyat Parti Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sudah kosong.
Undang-undang tertinggi negara itu menjelaskan, kekosongan kerusi seseorang ahli Dewan Rakyat berlaku sekiranya dia melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota parti politik atau memenangi pilihan raya sebagai calon Bebas, kemudian menyertai parti lain.
Dalam kes ketujuh-tujuh wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedudukan mereka ditafsirkan sebagai gugur berikutan pemberhentian serta-merta keahlian daripada parti.
Perkara itu dijelaskan Pakar Perlembagaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang memberitahu, Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan seseorang ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi ahli dan kerusinya menjadi kosong apabila melepaskan keanggotaan parti politik itu atau tidak lagi menjadi anggota parti.
Justeru, bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu berpandangan, kekosongan kerusi sebenarnya sudah berlaku termasuk melibatkan wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum ini.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – UTUSAN










