KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapat kelulusan untuk membentangkan usul pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) di Dewan Rakyat pada sesi persidangan kali ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pindaan undang-undang pemulihan dadah mendapat kelulusan dari kedua-dua peringkat iaitu dasar dan rang undang-undang sendiri serta memperoleh giliran untuk dibentangkan di persidangan Parlimen kali ini.
Katanya, tujuan pindaan adalah memperincikan setiap butiran dalam fasal-fasal yang KDN hajatkan untuk melakukan pindaan.
“Semuanya ada 29 fasal dan dalam mana-mana rang undang-undang, ia akan bermula dari definisi sampailah kepada perkara yang bersifat substantif.
“Perkara yang bersifat substantif adalah yang paling jelas dan ia merupakan anjakan besar,” katanya simposium penyalahgunaan dadah di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, perubahan paling ketara dalam pindaan intu adalah penilaian semula terhadap kes penagihan dadah dan penyalahgunaan bahan.
Katanya, menurut pindaan itu, penagih dadah akan dianggap sebagai pesakit, bukan lagi sebagai penjenayah dan langkah ini bertujuan mengubah pendekatan rawatan serta pemulihan, dengan fokus yang lebih besar terhadap pemulihan daripada hukuman.
“Pindaan ini juga memperkukuh peranan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai entiti yang sah dan berkuasa dalam proses pemulihan penagih dadah.
“Pegawai pemulihan akan diberi kuasa untuk melakukan ujian dan pengisahan tanpa perlu merujuk kepada pegawai perubatan, yang dijangka akan mempercepat proses pemulihan,” katanya.
Beliau berkata, harapan besar diletakkan kepada pindaan itu untuk menjadi kesan yang penting dalam menangani isu penagihan dan penyalahgunaan dadah di Malaysia.
Katanya, dengan pendekatan yang lebih mesra pemulihan, lebih ramai penagih dijangka tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan tanpa berdepan dengan proses undang-undang yang rumit.
“Pindaan ini juga bertujuan mengurangkan kesesakan penjara dengan mengalihkan kes-kes penagihan dan penyalahgunaan bahan yang tidak serius daripada sistem kehakiman kepada program rawatan serta pemulihan.
“Jika berjaya, langkah ini dijangka dapat mengurangkan beban di mahkamah dan penjara negara,” katanya. – UTUSAN










