Kawasan dekat kubur jadi tapak pelupusan haram

Kawasan dekat kubur jadi tapak pelupusan haram

SUHAIRI Mat Nor menunjukkan sebahagian longgokan sampah di sekitar pagar Tanah Perkuburan Islam Dato’ Raja Dagang Semerak, Pasir Puteh, Kelantan kelmarin. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Penduduk di sekitar Semerak di sini kesal dengan sikap segelintir masyarakat di situ yang menjadikan kawasan lapang berhampiran Tanah Perkuburan Islam Dato’ Raja Dagang sebagai lokasi pembua­ngan sampah haram sejak setahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan kawasan berhampiran tanah perkuburan tersebut umpama tapak pelupusan sampah apabila bau busuk sisa buangan dibawa angin sehingga mengganggu penduduk setempat.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sisa buangan itu kebanyakannya dibungkus de­ngan beg plastik hitam, namun sebahagiannya sudah bersepah kerana dipercayai diselongkar anjing liar.

Pengerusi Jawatankuasa Ta­nah Perkuburan Islam Dato’ Raja Dagang, Suhari Mat Nor berkata, pelbagai jenis sisa buangan bukan sahaja mencacatkan pemandangan, tetapi menjadi tempat tikus dan lalat membiak.

Menurutnya, lokasi itu juga menjadi tumpuan puluhan anjing liar mencari makanan pada waktu malam sehingga menyebabkan sampah sarap bersepah di atas jalan.

“Penduduk pernah menyewa jentolak untuk membersihkan kawasan itu pada pertengahan tahun lalu, tetapi lokasi itu tetap menjadi pilihan mereka yang tidak bertanggungjawab untuk terus membuang sampah.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyediakan tong sampah di laluan utama Semerak-Telaga Papan, namun kawasan berhampiran tanah perkuburan juga yang menjadi pilihan mereka,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Suhairi memberitahu, sampah yang banyak dibuang di kawasan itu antaranya sisa makanan, botol plastik, lampin pakai buang, perabot terpakai, sisa kaca dan cermin.

Katanya, penduduk setempat tidak lagi mampu untuk menyewa jentolak yang mahal caj perkhidmatannya untuk membersihkan kawasan yang sudah boleh diibaratkan seperti tapak pelupusan sampah.

Seorang lagi penduduk, Yusof Awang Mat, 59, berkata, dia berharap PBT dapat membantu untuk membersih semula persekitaran luar tanah perkuburan itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Norsham Sulaiman ketika dihubungi berkata, orang ramai perlu menghentikan tabiat membuang sampah di lokasi yang tidak sepatutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN