NIBONG TEBAL : Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin optimis mampu meraih sokongan daripada pengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kerana parti itu kini merupakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, kerjasama baik yang ditunjukkan oleh BN khususnya melalui UMNO akan menjadi faktor kemenangan buat Kerajaan Perpaduan di Sungai Bakap.
“Kita kena lihat di mana BN sekarang..di sebelah (komponen parti) Kerajaan Perpaduan dan sudah semestinya mereka mempunyai data siapakah pengundi mereka.
“Selain pemimpin tertinggi parti (BN) mengadakan perjumpaan untuk menggembleng tenaga bersama memenangkan saya di sini, banyak jentera parti turut menyatakan sokongan mereka kepada saya.
“Bukan nak takbur tapi saya yakin kita mampu mengambil alih semula DUN Sungai Bakap,” katanya kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular dakwaan mengatakan penyokong BN cenderung memilih calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 pada Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, media semalam melaporkan, UMNO akan berusaha menarik seramai mungkin pengundi ‘putihnya’ termasuk ahli parti itu bagi memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pihaknya juga akan memastikan tiada boikot daripada ahli parti itu kepada calon terbabit selepas gabungan itu tidak bertanding di kerusi berkenaan.
“Terdapat lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan UMNO mempunyai ahli yang menjadi pengundi berjumlah 5,105 orang.
“Jadi, tumpuan kita ialah pengundi UMNO di samping kita cuba menarik pengundi Melayu untuk mengundi calon (kerajaan Perpaduan),” katanya.-UTUSAN











