Jawatankuasa protem terajui usaha penubuhan Mahkamah Timbang Tara

Jawatankuasa protem terajui usaha penubuhan Mahkamah Timbang Tara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah Jawatan­kuasa sementara atau protem ditubuhkan bagi menerajui penubuhan Mahkamah Timbang Tara, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) (AIAC).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, jawatankuasa itu akan membuat penelitian meka­nisme, protokol dan rangka kerja pengoperasian Mahkamah Timbang Tara AIAC secara efektif.

Katanya, ia turut berperanan menerapkan elemen ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran Mah­kamah Timbang Tara AIAC sebagai badan pembuat keputusan kes-kes yang dirujuk ke AIAC.

“Ia selaras dengan peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan AIAC.

“Jawatankuasa protem ini terdiri daripada seorang pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa yang berpengalaman luas, berkredibiliti dan terkemuka dalam bidang perunda­ngan serta Penyelesaian Perti­kaian Alternatif (ADR) di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya semalam.

Menurut kenyataan itu, penubuhan jawatankuasa protem diyakini dapat menyumbang secara konstruktif kepada penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC berkenaan.

Ia selaras dengan usaha kerajaan meminda undang-undang yang relevan termasuk Akta Timbang Tara 2005 [Akta 646] yang sedang dimuktamad­kan dan dijangka dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang.

“Pelaksanaan inistiatif-ini­sia­tif baharu ini dihasratkan dapat memperkukuh kedudukan AIAC sebagai institusi timbang tara antarabangsa yang bebas di bawah naungan Asian-African Legal Consultative Organization (AALCO).

“Ia sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai pilihan utama tempat penyelesaian timbang tara dan ADR secara keseluruhan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Jawatankuasa protem itu dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan 16 ahli yang lain daripada pakar-pakar dalam negara serta peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN