PETALING JAYA: Syarikat disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS), Jatronics Sdn. Bhd. (Jatronics) tidak beroperasi sebagai pengeluar semikonduktor di Malaysia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan, Jatronics adalah syarikat perdagangan yang terlibat dalam perdagangan borong produk bagi semikonduktor dan perkhidmatan fabrikasi.
Katanya, Malaysia menguatkuasakan Pengurusan Perdagangan Strategik (STM) menerusi Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010) iaitu dalam kawal selia eksport, transit, pemindahan penghantaran dan pembrokeran barangan strategik terutama yang mempunyai potensi bagi aplikasi ketenteraan.
“STM memerlukan syarikat pengeksport dan syarikat dalam rantaian bekalan untuk melaksanakan semua usaha yang diperlukan bagi memastikan maklumat itu tepat seperti destinasi akhir, pengguna akhir dan penggunaan produk.
“Berdasarkan rekod, Jatronics bukan syarikat berdaftar di bawah STA 2010 dan tidak memohon permit eksport,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan meminta MITI melakukan siasatan lanjut terlebih dahulu terhadap isu tersebut.
Ini kerana, kata beliau, dirinya difahamkan syarikat tersebut bukan pengeluar semikonduktor tetapi syarikat dagang yang menjual peralatan berkait semikonduktor.
Untuk rekod, media antarabangsa melaporkan, AS mengenakan sekatan terhadap Jactronics selepas didakwa syarikat itu membekalkan komponen penting elektonik untuk ketenteraan Rusia.
MITI berkata, tindakan Jabatan Perbendaharaan negara tersebut ke atas Jatronics merupakan sekatan yang meluas dengan menyasarkan 300 entiti daripada pelbagai negara yang didakwa mempunyai kaitan dengan konflik Ukraine-Rusia.
Oleh itu, kementerian menasihatkan syarikat untuk sentiasa mengambil maklum mengenai sekatan dikenakan terhadap negara lain seperti AS, berwaspada dan sentiasa mengambil maklum tentang sebarang langkah perdagangan bagi memastikan mereka tidak dikenakan sekatan.
“MITI juga ingin menjelaskan bahawa Malaysia mematuhi pelbagai sekatan multilateral dan ‘senarai pengguna akhir terhad atau dilarang’ di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).
“Rusia tidak disenaraikan oleh UNSCR dan oleh itu tidak termasuk di bawah STA 2010,” jelasnya.
Tambahnya, MITI berhubung dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengenai sekatan unilateral AS sambil meningkatkan pemantauan urusan perdagangan antarabangsa pengeksport dan pengilang Malaysia.
“MITI juga akan meneruskan penglibatan tetap dengan dagangan utama dengan rakan kongsi untuk menangani kebimbangan yang wujud serta menjelaskan pendirian berkecuali Malaysia dan memastikan bahawa keputusan ekonomi kita terus menggalakkan persekitaran perdagangan global yang selamat dan terjamin,” katanya. – UTUSAN










