NIBONG TEBAL : Tiga ladang unggas yang dianggarkan mempunyai lebih daripada 10,000 ekor haiwan ternakan di Sungai Bakap telah dikenakan Tindakan kompaun oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP).
Pengarah JPVPP, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kompaun itu dikeluarkan antara 19 Januari hingga 30 April lalu berikutan masalah lalat yang dihadapi selain terdapatnya ulat di dalam najis
“Di kawasan Sungai Bakap ini terdapat tiga ladang unggas dengan dua daripada ladang tersebut berlesen dengan JPV.
“Sementara itu, satu lagi ladang lesennya dimohon lewat dan pihak kami menangguhkan kelulusan lesen ladang berkenaan sehingga ada pengurusan lalat di ladang tersebut. Bagaimanapun, ketiga-tiga ladang tersebut telah dikenakan tindakan kompaun,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai masalah lalat yang telah berlarutan sejak sekian lama di Sungai Bakap terutama di sekitar kawasan pasar dan kedai makan.
Menurut peniaga, serangan lalat yang tiba secara bermusim itu berlaku akibat faktor cuaca serta datang daripada ladang ayam dan babi berhampiran.
Mengulas lanjut, Dr. Saira Banu berkata, sepanjang tempoh Februari hingga April juga, pihaknya telah mengenal pasti ladang-ladang unggas lain yang berdepan dengan masalah lalat.
“Dalam hal ini, JPVPP telah menjalankan tindakan kompaun ke atas ladang-ladang yang dikenal pasti. Sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan kepada ladang unggas atas kesalahan masalah lalat dan menjumpai maggot di dalam najis.
“Kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM7,500 bagi kesalahan pertama. Jika masalah yang sama masih berterusan, nilai kompaun kedua akan bertambah kepada RM10,000 dan seterusnya meningkat kepada RM15,000 untuk kompaun kali ketiga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JPVPP juga telah mengeluarkan lesen kepada penternak unggas yang menjalankan penternakan melebihi 10,000 ekor dan ke atas pada 19 Februari 2024.
“Sebanyak 187 buah ladang unggas telah dilesenkan iaitu 115 di Seberang Perai Selatan.
“JPVPP memberikan tempoh sehingga 30 April 2024 untuk penternak unggas yang berlesen untuk mematuhi syarat pelesenan. Antara syarat pelesenan utama yang perlu dipatuhi adalah pengurusan sisa unggas dengan baik,” katanya.-UTUSAN










