Permintaan korban Pulau Pinang naik hampir 45 peratus

Permintaan korban Pulau Pinang naik hampir 45 peratus

PERMINTAAN ternakan bagi tujuan ibadah korban di Pulau Pinang pada tahun ini meningkat ketara apabila sebanyak 6,107 ekor ternakan direkodkan berbanding 4,220 ekor pada tahun sebelumnya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Permintaan ternakan bagi tujuan ibadah korban di Pulau Pinang pada tahun ini meningkat ketara apabila sebanyak 6,107 ekor ternakan direkodkan berbanding 4,220 ekor pada tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, peningkatan sebanyak 44.72 peratus itu berdasarkan permohonan Permit Sembelihan Luar (PSL) yang diterima daripada masjid, surau, badan korporat dan penganjur korban di seluruh negeri.

Menurut beliau, sehingga kini, sebanyak 1,398 PSL telah dikeluarkan bagi tahun 2026 berbanding 1,057 permit pada tahun lalu, menunjukkan peningkatan sebanyak 341 permit atau 32.26 peratus.

“Peningkatan ini menggambarkan pertambahan penyertaan masyarakat dan peningkatan pelaksanaan ibadah korban di negeri ini pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr. Saira Banu berkata, pelaksanaan PSL penting bagi memastikan aktiviti korban yang dijalankan mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan termasuk dari aspek kesihatan veterinar, kebajikan haiwan, kebersihan tempat sembelihan serta keselamatan makanan.

“Pemantauan oleh pegawai veterinar dan pemeriksa daging turut memastikan pemeriksaan ante-mortem dan post-mortem dilaksanakan dengan sempurna supaya daging korban yang diagihkan kepada masyarakat selamat dimakan dan bebas daripada penyakit zoonotik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan ternakan itu, sebanyak 5,476 ekor melibatkan lembu, diikuti 26 kerbau, 542 kambing, 57 bebiri dan enam ekor unta.

Menurutnya, permintaan tinggi terhadap lembu menunjukkan haiwan itu masih menjadi pilihan utama masyarakat bagi pelaksanaan ibadah korban disebabkan faktor kesesuaian agihan, kapasiti penyertaan peserta korban dan keadaan ekonomi semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN