PONTIAN: Penduduk Lorong Megah 18, di sini meminta palang dipasang di Lorong Seri Semerah bagi menghalang bas sekolah memasuki Taman Megah untuk ke sebuah sekolah menengah persendirian, bersebelahan taman tersebut.
Mereka mendakwa, bas sekolah tersebut tidak melalui jalan dibenarkan, sebaliknya menggunakan jalan pintas pada waktu pagi supaya lebih cepat sampai ke sekolah berbanding jika menggunakan Jalan Pontian-Benut.
Seorang penduduk, Ahmad Ali Tahir, 62, berkata, walaupun keadaan tersebut berlaku pada waktu pagi sahaja, tindakan berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati mereka.
“Yang jadi masalah, pemilik kenderaan terpaksa meletakkan kereta mereka secara menegak untuk memberi laluan kepada bas sekolah tersebut bagi mengelakkan dilanggar.
“Mengapa kami menjadi mangsa keadaan kepada pemandu bas yang tidak bertanggungjawab hanya untuk kesenangan sendiri?,” katannya kepada Utusan Malaysia.
Ahmad Ali turut meminta pihak berkenaan supaya membina bonggol di Lorong Idaman 1 dan Lorong Megah 18 sebagai cara mengurangkan kelajuan kenderaan yang melalui jalan tersebut.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Nasran Ni-Amat, 40, turut beranggapan tidak wajar bas sekolah menggunakan laluan itu yang hanya sesuai untuk kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal.
“Selain memohon dipasang palang, satu lagi cadangan ialah dengan memasang papan tanda peringatan kepada pemandu bas supaya tidak sesuka hati melalui Lorong Seri Semerah, Lorong Idaman 1 dan Lorong Megah 18,” katanya. – UTUSAN










