PETALING JAYA: Pihak berkuasa di negara ini digesa menghentikan pengusiran dan pemusnahan kediaman milik lebih 500 masyarakat Bajau Laut di Sabah serta memastikan hak etnik itu dilindungi.
Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan terhadap masyarakat Bajau Laut itu disifatkan sebagai pencabulan hak asasi manusia sekali gus mencemarkan reputasi negara ini.
Malah, katanya, ia turut bercanggah dengan pendirian negara untuk mendukung hak asasi manusia seperti yang digariskan dalam bidaan di Majlis Hak Asasi Manusia (2022-2024).
Sehubungan itu, pihak kerajaan perlu segera mewujudkan dasar yang menyediakan akses kepada perkhidmatan penting untuk individu tanpa kerakyatan dan tiada dokumen termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan bantuan guaman.
“Kerajaan juga disarankan meratifikasi dan mematuhi perjanjian hak asasi manusia antarabangsa utama seperti perjanjian antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) bagi mengukuhkan rangka kerja perundangan yang melindungi semua individu dalam sempadan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Khamis lalu, NGO Borneo Komrad mendakwa etnik Bajau Laut di Semporna, Sabah diusir pihak berkuasa dan rumah atas air yang dihuni mereka dirobohkan.
Bajau laut merupakan komuniti pelaut tanpa kewarganegaraan yang tinggal di rumah perahu reyot atau pondok pantai yang dibina di atas tiang di Semporna, Sabah dan telah mendiami wilayah itu berabad lamanya serta mendahului kewujudan sempadan negara moden.
Masyarakat etnik itu dilahirkan tanpa dokumen pengenalan diri, tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan asas dan hidup dalam penuh ketakutan terhadap penahanan serta pengusiran oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurut CENTHRA, langkah penguatkuasaan termasuk operasi membakar dan merobohkan kediaman mereka hanya membuatkan mereka terus tertekan dan lemah akibat layanan kejam serta tidak berperikemanusiaan.
Katanya, tindakan terhadap masyarakat Bajau Laut tidak mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).
“Tindakan sebegini menjejaskan komitmen yang dibuat Malaysia di dalam laporan Kajian Berkala Sejagat Pusingan ke-4 (UPR-4) baru-baru ini di mana Malaysia berjanji untuk menerima pakai pendekatan ’seluruh masyarakat’ dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia,” katanya. – UTUSAN










