NIBONG TEBAL : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan hampir RM18 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur awam di Seberang Perai demi kesejahteraan penduduk setempat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia meliputi sepuluh projek membabitkan projek bina baharu, baikpulih projek pembangunan serta kerja-kerja menaik taraf landskap termasuk penyaluran peruntukan kepada enam Inisiatif Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
“Menerusi peruntukan sama, projek terbesar yang bakal dilaksanakan ialah pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Permatang Tinggi yang menelan belanja sebanyak RM13.8 juta.
“Projek pembinaan atas tanah seluas 2.428 hektar itu dijangka bermula Mac tahun depan dan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
“Kawasan terbabit sememangnya memerlukan balai bomba baharu bagi membantu BBP di Sungai Bakap, Batu Kawan dan Nibong Tebal sekali gus dapat mencapai ‘response time’ 10 minit seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT ke Pulau Pinang di Sungai Udang di sini, hari ini.
Projek lain yang turut menerima peruntukan itu ialah kerja-kerja mengecat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampangan dengan peruntukan sebanyak RM500,000; penyelenggaraan dan naik taraf jalan, longkang dan lantai keliling dewan di Kampung Baru Sungai Kechil (RM191,690) serta pembinaan Gelanggang Bola Keranjang di Bandar Tasek Mutiara dengan peruntukan sebanyak RM300,000.
Turut menerima peruntukan ialah projek menaik taraf tingkat satu Pasar Awam Bukit Panchor kepada Dewan Komuniti iaitu sebanyak RM1juta serta kerja-kerja menaik taraf bumbung Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Selain itu, projek lain yang terlibat ialah kerja-kerja menaik taraf landskap dan lain-lain kerja berkaitan di Taman Bukit Panchor (RM200,000); menaik taraf sistem perparitan di Taman Seruling Emas (RM300,000); menaik taraf tandas awam dan kerja berkaitan di Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara (RM120,000) serta penyaluran peruntukan kepada enam RIBI sebanyak RM 1,019,594.
Kor Ming walau bagaimanapun menegaskan, peruntukan tetap disalurkan biarpun tidak ada pilihan raya kecil (PRK) di kawasan terbabit.
“Sini (DUN Sungai Acheh) tidak ada PRK atau PRN (Pilihan Raya Negeri), tetapi, Sentuhan Kasih tetap sampai di Pulau Pinang.
“Projek-projek yang bakal dilaksanakan telah dirancang dengan teliti untuk memastikan setiap
ringgit yang dibelanjakan memberikan pulangan pelaburan (ROI) yang tinggi dan tidak sekadar memberi manfaat kepada komuniti tetapi juga berdaya maju dari segi ekonomi,” katanya.-UTUSAN










