Pengorbanan seorang guru terhadap anak muridnya sememangnya tidak boleh dipertikaikan.
Begitu juga jasa seorang pendidik, M.Gunalan, 44, yang membantu mencari dana untuk membeli 23 pasang cermin mata bagi muridnya yang menghadapi masalah penglihatan.
Kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Slim River ini, beliau mengesan masalah penglihatan melibatkan 23 murid itu semasa sesi pembelajaran di kelas.
“Syukur kini mereka boleh belajar dengan baik dan lebih efektif dengan adanya cermin mata ini.
“Saya hanya menyelidiki latar belakang murid terutamanya mereka yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mencari penaja,” katanya pada majlis penyerahan cermin mata SK Slim River baru-baru ini.
Katanya, berkat usaha dan kesungguhan beliau akhirnya berjaya mendapatkan penaja bagi membiayai kos pembelian cermin mata tersebut.
“Kos cermin mata itu ditaja oleh Mediator Komuniti Rukun Tetangga, Datuk Dr. K. Sathiveloo.
“Malah, dengan kebenaran ibu bapa dan penjaga murid, pemeriksaan mata telah dijalankan di sebuah kedai cermin mata berhampiran sekolah,” katanya.
Majlis penyerahan cermin mata kepada semua murid itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Suhaimi Muhammad yang turut disertai Guru Besar SK Slim River, Muhd Halin Othman. –UTUSAN










