Guna nombor plat palsu helah elak motosikal kena tarik

Guna nombor plat palsu helah elak motosikal kena tarik

ANTARA penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan di Subang Jaya, Selangor malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Tindakan seorang penunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu kerana culas bayar ansuran bulanan terbongkar selepas ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa sekatan jalan raya di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan 5, di sini malam tadi. 

Penunggang lelaki berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 malam selepas pemeriksaan awal mendapari tiada paparan nombor plat hadapan, manakala nombor plat belakang tidak lengkap.

Pemeriksaan lanjut nombor casis oleh anggota JPJ Selangor kemudian membongkar motosikal jenis Yamaha 135LC itu adalah tidak sepadan dengan nombor plat. 

Pekerja kedai serbaneka yang enggan dikenali itu berkata, dia menukar nombor plat tersebut kerana tidak mahu motosikal ditarik akibat tunggakan tiga bulan.

“Sebulan saya perlu bayar RM299 dan ada tiga tahun lebih lagi kena bayar.

“Saya tukar nombor plat ini dalam seminggu, takut kedai tarik. Saya tahu risiko buat benda ini, tapi itulah…saya reda,” katanya ketika ditemui di sini.

Berikutan itu, motosikal terbabit disita selain penunggang terbabit didapati tiada lesen memandu.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 itu diketuai Ketua Seksyen Operasi JPJ Selangor, Muzlefa Kamarudin bermula pukul 8 malam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Katanya, sebanyak 318 kesalahan dikesan hasil pemeriksaan 1,220 kenderaan.

“Pelbagai kesalahan direkodkan antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan motor tamat tempoh, kesalahan teknikal serta cermin gelap.

“JPJ turut menyita 23 kenderaan selain 18 diarah periksa serta 16 notis larangan penggunaan kenderaan,” katanya.

Tambah beliau, elemen rondaan dan pemantauan di jalan utama serta lokasi kerap kemalangan akan dipertingkat dalam Op HRAA 2024 ini.

Sebarang aduan trafik boleh disalurkan kepada talian hotline JPJ Negeri Selangor di talian 03-55669442 atau melalui emel [email protected] atau platform aplikasi MyJPJ di e-Aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan aduan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN