Tiada dokumen, warga asing pandu Axia larikan diri berjaya ditahan

Tiada dokumen, warga asing pandu Axia larikan diri berjaya ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan dokumen pengenalan diri dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga Indonesia tekad melarikan diri daripada sekatan jalan raya sebelum ditahan polis di Kampung Pandan, Selasa lalu.

Sumber berkata, lelaki berusia 53 tahun itu dipercayai menaiki Perodua Axia bersama dua rakannya di kawasan Sungai Besi sebelum berjaya diberkas polis di Kampung Pandan pada pukul 7.03 pagi.

Menurutnya, tindakan melarikan diri itu dipercayai kerana suspek bimbang ditahan pihak berkuasa selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta lesen memandu yang sah.

“Sebuah kenderaan yang digunakan ketika kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud mengesahkan penahanan suspek dalam kejadian tersebut.

Beliau berkata, suspek bersama dua rakan senegaranya ketika di lokasi kejadian sebelum melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan pemandu kenderaan tersebut ketika kejadian.

“Manakala dua rakan suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN