SHAH ALAM: Pengiktirafan terhadap program laluan selari (parallel pathway) dalam bidang kardiotorasik akan diperincikan bagi memastikan pelaksanaanya akan menyelesaikan isu kepakaran perubatan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, perwujudan garis panduannya adalah penting untuk mengiktiraf kursus-kursus pendidikan tinggi khususnya dalam bidang perubatan termasuk kardiotorasik.
“Tetapi itu penting kerana memang kita maklum perlukan pakar-pakar di negara ini, jadi dengan adanya pindaan itu kita harap isu parallel pathway akan dapat diselesaikan.
“Kita kena perincikan, kena ada garis panduan (soal pengiktirafan), itu yang pentingnya undang-undang digubal (dipinda) untuk mengawal selia isu-isu tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Prosedur Kembali ke Universiti (R2U) dan Majlis Apresiasi Pensijilan Pengurusan Profesional Orang Kurang Upaya (OKU) (CDMP), semalam.
Jelasnya, Akta Perubatan 1971 akan digubal untuk tangani isu-isu tersebut dan diharap dapat dibentang di Parlimen pada sesi (sidang) akan datang.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bekas Pengerusi Universiti Teknologi Mara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah mencadangkan kerjasama diwujudkan antara Institut Jantung Negara (IJN), Universiti Malaya (UM) dan UiTM dilakukan supaya kerajaan tidak mengambil langkah meminda akta tersebut bagi mengiktiraf kursus parallel pathway tersebut.
Menurutnya, cadangan meminda Akta Perubatan 1971 bagi mengiktiraf parallel pathway dalam bidang kardiotorasik akan mencalarkan profesionalisme dan kredibiliti institusi perubatan negara.
Ini kerana, program parallel pathway yang dijalankan di Malaysia adalah berbentuk komersial oleh sebuah persatuan dan bukannya institusi pendidikan ataupun kolej perubatan sehingga mencetuskan polemik apabila tidak diiktiraf oleh mana-mana badan perubatan termasuk General Medical Council (GMC) United Kingdom (UK) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebelum ini memberitahu sesi libat urus akan diadakan dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan KPT.
Langkah tersebut sebagai sebahagian daripada proses merangka draf pindaan Akta Perubatan 1971 bagi mengatasi isu pendaftaran doktor perubatan dengan kelayakan kepakaran daripada program parallel pathway yang kini sedang disemak oleh Jabatan Peguam Negara. – UTUSAN










