PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) membantah sekeras-kerasnya atas usaha mana-mana pihak yang meluaskan pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) atau Program Dwibahasa di Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan.
Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata,sejak pelaksanaan DLP pada 2016, ia telah menghina Wasiat Raja-Raja Melayu dan kedaulatan bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996.
“Akta Pendidikan 1996, Perkara 17 menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa penghantar utama di seluruh institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
“Perkara 18 pula menyatakan bahawa kurikulum kebangsaan digunakan untuk semua sekolah dan bahasa Inggeris hendaklah menjadi mata pelajaran wajib,” katanya.
Tambah Zainal melalui DLP, bukan sahaja mata pelajaran bahasa Inggeris, tetapi mata pelajaran sains, matematik, reka bentuk dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, fizik, kimia, biologi, dan matematik tambahan sebagai mata pelajaran wajib dalam bahasa Inggeris.
“Mata Pelajaran seperti Sejarah, Geografi, Pengajian Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Kesihatan, Sains Pertanian, Kemahiran Hidup, Ekonomi, Perdagangan, Prinsip Perakaunan pula akan diajar dalam bahasa Melayu.
“Oleh itu, GAPENA mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kaji semula pelaksanaan DLP kerana telah meruntuhkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini,” jelasnya lagi. – UTUSAN










