Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) melancarkan sebanyak 100 buah buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di ibu negara baru-baru ini. Pelancaran buku tersebut merupakan kali kedua oleh GAPENA selepas kali pertama diadakan pada 2010.
Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pelancaran tersebut mencerminkan matlamat perjuangan pertubuhan tersebut bagi memajukan sastera kebangsaan, bahasa Melayu, serta memperkukuh budaya ilmu di negara ini.
“Kami mempunyai 20 badan gabungan daripada seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti masing-masing. Walaupun tidak semua negeri memiliki tokoh sasterawan tersendiri, kami mengumpulkan karya mereka dan menerbitkannya dalam pelbagai bentuk seperti antologi puisi, cerpen, novel, kertas kerja, dan syarahan,” katanya.
Tambah beliau, walaupun montaj pelancaran menyatakan 120 buah buku, hanya beberapa yang telah siap diterbitkan setakat ini dan beberapa daripadanya telah diterbitkan sebelum ini.
Menurut Zainal Abidin, tugas GAPENA bukan hanya menyuarakan pandangan, tetapi juga menyediakan ruang kepada penulis untuk berkarya dan menerbitkan hasil mereka.
“Ada yang bertanya, kenapa banyak antologi puisi? Sebenarnya yang penting adalah bagaimana kita memberi ruang kepada rakan-rakan kita. Ruang untuk karya mereka diterbitkan dan dilancarkan lebih-lebih lagi dalam acara besar seperti ini,” katanya.
Beliau berkata, melalui penerbitan buku-buku tersebut, penulis tanah air digalakkan untuk terus berkarya termasuklah penulis baharu yang berasa bangga apabila karya mereka buat kali pertama diterbitkan.
“Rasa bangga itu penting. Kita perlu galakkan mereka. Apabila keyakinan muncul dan ada penghargaan diberikan, mereka akan terus mencipta. Menulis bukan kerja mudah. Ia memerlukan renungan mendalam dan kemampuan menghayati serta memahami pelbagai peristiwa dan fenomena,” katanya.
Walaupun ini tahun kedua GAPENA menyertai PBAKL, Zainal Abidin menyifatkan penglibatan tersebut sebagai petanda sokongan kuat kepada dunia kesusasteraan tanah air.
“Kita harap tahun hadapan, jumlah buku yang diterbitkan dapat ditingkatkan kepada 150, atau mungkin 200. Jika tercapai, Alhamdulillah,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa proses penerbitan berlangsung sepanjang tahun dan buku-buku tidak hanya diterbitkan khas untuk PBAKL sahaja.
“Kami kumpulkan karya sepanjang tahun dan terbitkan secara berperingkat,” katanya.
GAPENA turut berharap dengan adanya projek tersebut, ia dapat untuk melahirkan lebih ramai lagi penulis-penulis yang baik dan berkualiti.
Bukan itu sahaja, ini juga adalah gelanggang untuk masyarakat mencari ilmu. Perjuangan GAPENA bukan sekadar mempertahankan warisan sastera dan budaya, tetapi membinanya semula agar terus hidup dan berkembang.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa GAPENA sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan menyertai PBAKL bukan dengan tujuan mencari keuntungan, tetapi atas dasar tanggungjawab dan amanah dalam memperjuangkan sastera, bahasa, dan budaya.
“Ini bukan soal keuntungan. Ini soal perjuangan. Buku adalah medium tunggal kepada masyarakat untuk mencari dan menyebarkan ilmu.
“GAPENA berperanan sebagai pemangkin kepada gerakan intelektual dan budaya membaca di tanah air.
“Hasrat kami juga adalah untuk membina pemikiran, merangsang budaya membaca dan akhirnya menyumbang kepada pembinaan tamadun dan negara,” katanya.
Pelancaran tersebut melibatkan 120 buah buku pelbagai genre daripada badan badan gabungan GAPENA antaranya termasuklah Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA).
Selain itu, terdapat buku hasil karya oleh beberapa badan gabungan lain seperti Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan individu tertentu diterbitkan seperti Sani Sudin, Ladin Nuawi, Aminah Saimbon dan Basri Zakaria.