KUALA LUMPUR: Dasar Gaji Progresif (DGP) bakal dilaksanakan secara menyeluruh pada Oktober ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pelaksanaan DGP selepas penilaian impak projek rintis GDP selesai dilaksana September ini.
Menurut beliau, projek rintis DGP bermula pada Jun hingga Ogos ini bagi menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan diperlukan sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.
Jelasnya, sebanyak 237 majikan sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai projek rintis tersebut manakala 732 majikan sudah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif.
“Sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif kepada 1,000 majikan. Pembayaran insentif kepada pihak majikan dijangka bermula pada Oktober 2024 apabila pihak majikan mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Pemberian insentif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Rahman berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta beliau menyatakan status pelaksanaan DGP di peringkat kementerian dalam usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, terdapat beberapa syarat yang ditetapkan dalam proses pemilihan 1,000 majikan untuk menyertai projek rintis DGP.
Jelasnya, antara syarat adalah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lain-lain pertubuhan dan berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Bukan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional, Tuntutan insentif hanya kepada pekerja warganegara Malaysia serta menggaji pekerja yang bekerja sepenuh masa di bawah suatu kontrak perkhidmatan.
“(Selain itu), menggaji pekerja yang menerima gaji pokok tidak melebihi had gaji yang ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan DGP Bagi projek rintis, had gaji yang ditentukan adalah RM1,500 hingga RM4,999 sebulan.
“Penyertaan dibuka kepada semua sektor kecuali sektor Pentadbiran awam dan pertahanan; aktiviti sosial wajib serta aktiviti badan dan pertubuhan luar wilayah,” katanya.-UTUSAN











