Durian Pulau Pinang jadi tumpuan pelancong asing

Durian Pulau Pinang jadi tumpuan pelancong asing

durian
WONG Hon Wai (kanan) menunjukkan sebahagian daripada durian yang terdapat di Pulau Pinang ketika pelancaran Penang Durian Season di George Town, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: “Saya pernah makan durian tapi tak boleh lebih daripada dua atau tiga ulas (sekali makan). Baunya sangat kuat tapi rasanya berlemak dan sedap.”

Itu perkongsian seorang pe­lancong dari England, Sandra MacGill, 36, ketika ditanya me­ngenai raja buah yang dinikmatinya.

Kata wanita itu, dia berhasrat merasai pelbagai jenis buah-buahan tropika termasuk durian ketika berkunjung ke negara ini khususnya Pulau Pinang.

“Saya diberitahu, ada pelbagai jenis durian yang ditanam di sini dan harganya juga bergantung kepada kualiti buah. Jadi tidak hairan jika ada buah yang boleh mencecah harga ratusan ringgit sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagi S. Prabhu, 51, dia juga menggemari raja buah itu walaupun jarang menikmati buah tersebut terutamanya di negara asalnya iaitu India.

“Saya ada pengalaman menarik dengan durian kira-kira dua tahun lepas. Ketika itu, saya ‘dipaksa’ oleh seorang rakan untuk menghabiskan sebiji durian. Rasa macam mahu pengsan waktu itu,” kata warga India yang datang ke Pulau Pinang bersama seorang rakan atas urusan kerja.

Dalam pada itu, gelombang pertama musim raja buah di Pulau Pinang dijangka berlaku sehingga akhir minggu ini, diikuti oleh gelombang kedua iaitu antara pertengahan Jun hingga Julai sebelum gelombang terakhir atau gelombang ketiga berlangsung sehingga bulan September.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, Pulau Pinang menghasilkan pelbagai jenis spesies antaranya Black Thorn (Duri Hitam), Udang Merah (Ang Hae) dan Musang King yang menjadi pilihan ramai setiap kali musimnya tiba.

“Pada masa ini, durian jenis 604, Ting Xiang, Xiao Hong, Khun Poh, Musang King, dan Black Thorn telah mula ‘jatuh’ dari pokok.

“Istimewanya durian dari Pulau Pinang ini adalah ia masak secara semula jadi dan kita tidak menggunakan sebarang kaedah tiruan untuk memaksa buah masak bagi memastikan setiap durian yang dirasai adalah asli dengan khasiatnya,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN