Dalang utama curi RM24.2 juta duit pelanggan bank diberkas

Dalang utama curi RM24.2 juta duit pelanggan bank diberkas

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga lagi individu termasuk dalang utama kes kehilangan wang tunai bernilai RM24.2 juta daripada empat akaun simpanan tetap di sebuah bank.

Dalang utama yang ditahan adalah seorang lelaki dan mempunyai rekod jenayah selepas berperanan menjadi perancang utama kegiatan itu.

Penahanan kesemua individu dilakukan di Perlis dan Sabah sejak tangkapan pertama pada 13 Jun lalu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua wang berjumlah RM24.2 juta itu adalah wang milik pelanggan bank yang disimpan di dalam akaun simpanan tetap dan bukannya simpanan biasa.

Kata beliau, modus operandi sindiket ini adalah dengan me­lakukan pakatan dengan kakitangan bank.

“Mereka (ahli sindiket) akan berurusan di kaunter setelah mendapat kerjasama pengurus bank yang berpakat dengan mereka bagi mengeluarkan ke­semua wang berkenaan,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Ramli ber­kata, tujuh tangkapan dilakukan di Sabah dan sa­tu di Perlis.

Katanya, kesemua mereka berusia antara 26 hingga 53 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan.

“Empat dari individu yang ditahan adalah kakitangan bank berkaitan.” jelasnya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada yang ditahan mempunyai jenayah lampau berkaitan pecah amanah pada 2011.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Ke­seksaan kerana menipu.

Pada 15 Jun lalu, media melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM24.2 juta.

Suspek berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu, Sabah, 13 Jun lalu.

Siasatan setakat ini mendedahkan ada penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi uru­san pengeluaran wang ber­kaitan.

Ini memandangkan urusan tersebut hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman.

Hasil serbuan, polis merampas tiga telefon bimbit beserta kad sim, lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, wang tunai RM4,400 dan sebuah komputer riba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×