KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan 23 pihak lagi memfailkan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun beliau, keluarga dan 18 syarikatnya.
Mereka turut memohon deklarasi bahawa tindakan penyitaan harta alih oleh pihak SPRM terhadap akaun-akaun bank tersebut adalah tidak sah dan terbatal kerana melanggar Perlembagaan.
Pendengaran bagi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman itu dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, esok. Permohonan tersebut difailkan pada 6 Jun lalu.
Selain Daim, turut dinamakan sebagai pemohon-pemohon ialah isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan empat anak mereka Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.
Pemohon-pemohon lain terdiri daripada Aad Equity Sdn. Bhd., Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn. Bhd., Anchor Point Sdn. Bhd., Kangkung Catering Sdn. Bhd., Adrihaniz Sdn. Bhd., Syarikat Maluri Sdn. Bhd., Amiraz Sdn. Bhd., dan Ridana Sdn. Bhd.
Syarikat-syarikat lain ialah Daan Sdn. Bhd., Maya Seni Holdings Sdn. Bhd., Magical Zone Sdn. Bhd. Permatang Maju Sdn. Bhd., Brainstorms Sdn. Bhd., Arida Farms Sdn. Bhd., Gajah3 Resource Centre Sdn. Bhd., Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Selidik Jaya Sdn. Bhd.
Selain SPRM, lima lagi responden terdiri daripada Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Haris Fadhila Sukaime serta Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.
Dua lagi termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keenam.
Na’imah dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya menyatakan, mereka sekeluarga terjejas secara negatif dalam skala kecil dan besar ekoran keputusan dan tindakan responden menyita dan membekukan akaun mereka.
“Saya telah dinasihati oleh peguamcara saya dan saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa segala keputusan, tindakan dan/atau kata-kata oleh responden keempat (SPRM) adalah untuk tujuan kolateral politik (‘political collateral purposes’) semata-mata,” katanya. – UTUSAN










