Bersatu Selangor serah notis kekosongan kerusi DUN Selat Klang - Utusan Malaysia

Bersatu Selangor serah notis kekosongan kerusi DUN Selat Klang

Bersatu Selangor
MOHAMED Azmin Ali menunjukkan notis kekosongan itu ketika hadir di Pejabat Speaker DUN Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Bersatu Selangor menyerahkan notis kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang kepada Pejabat Speaker DUN Selangor di sini, hari ini.

Notis bertulis itu diserahkan pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San, kira-kira pukul 3 petang.

Beliau yang Ketua Pembangkang berkata, notis melibatkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari itu dibuat mengikut Perkara LXVA Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Menurut ADUN Hulu Kelang itu, Speaker DUN perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan notis bertulis tersebut.

“Mengikut peruntukan Perkara LXVA, kerusi seseorang yang terhenti menjadi ahli Dewan Negeri perlu kosong sebaik tarikh kekosongan dipastikan oleh Speaker Dewan jika tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.

“Dalam hal ini, saya memaklumkan kepada Speaker bahawa status Abdul Rashid yang bukan lagi ahli Bersatu menjadikan beliau terhenti menjadi ADUN Selat Klang dan kerusi Selat Klang hendaklah dikosongkan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Wisma DUN Selangor.

Terdahulu, beliau dan ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah menghadiri pertemuan selama kira-kira 30 minit dengan Weng San untuk menyerahkan notis itu.

Tambah Mohamed Azmin, beliau turut memaklumkan kepada Speaker DUN bahawa notis pemakluman diserahkan kepada Abdul Rashid pada 12 Jun lalu mengenai keahliannya dalam Bersatu yang terhenti serta merta.

“Perkara itu termaktub mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu kerana ketidakpatuhan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dikeluarkan pada 17 Mei
lalu.

“Saya turut menarik perhatian Speaker mengenai Akta Pertubuhan 1966 yang menegaskan bahawa keputusan parti politik tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah atau peraturan dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif,” ujarnya.

Tambah beliau, penyerahan notis secara tangan itu dilakukan beliau supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan kerusi Selat Klang.

“Saya juga mendesak supaya Speaker DUN mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan undang-undang negara dalam menjalankan tugas dan fungsi beliau.

“Speaker perlu mematuhi dan menunaikan sumpah jawatan beliau untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan negeri ini,” katanya.

Pada 2 Jun lalu, Abdul Rashid dan enam Ahli Parlimen Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Abdul Rashid sebelum ini menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Semalam, Bersatu turut menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN