Remaja tikam rakan diarah jalani penilaian, rawatan psikiatri

Remaja tikam rakan diarah jalani penilaian, rawatan psikiatri

Remaja dituduh tikam rakan
POLIS membawa remaja perempuan yang dituduh menikam rakan sekelasnya, meninggalkan kamar Mahkamah Majistret selepas mendengar pertuduhan dan perintah menjalani penilaian serta rawatan psikiatri, di Kuala Langat, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Remaja perempuan yang menikam rakan sekelasnya pada Isnin lalu dekat sebuah sekolah menengah di Banting, di sini, diarahkan menjalani penilaian dan rawatan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Majistret, Telok Datok, di sini, hari ini selepas pertuduhan dibacakan ke atas pelajar berusia 15 tahun itu pada prosiding yang bersidang sebagai Mahkamah Kanak-Kanak.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh.

Mengikut pertuduhan, remaja yang menghidap autisme itu didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap seorang pelajar seusianya dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan.

Dengan perbuatan tersebut, dia dikatakan mempunyai niat untuk menyebabkan kematian yang dilakukan dekat sebuah sekolah menengah di Bandar Banting, di sini, kira-kira pukul 9.50 pagi.

Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Peguam bagi pihak pembelaan yang mewakili remaja itu kemudian memohon supaya perintah penilaian terhadap tahap kesihatan mental anak guamnya itu dilakukan oleh pakar di hospital psikiatri.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Amirul Syafiq Yazid yang mengendalikan prosiding tersebut bersetuju penilaian terhadap tahap kesihatan mental tertuduh dilakukan.

Majistret kemudian memerintahkan remaja terbabit supaya menjalani penilaian dan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta selama sebulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Ogos.

Pada prosiding tersebut, pelajar yang sedang menjalani cuti sekolah sejak lapan bulan lalu itu ditemani oleh ibunya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, suspek remaja mendakwa menjadi mangsa buli kawan-kawannya termasuk seorang mangsa tikamannya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dakwaan tersebut dinyatakan suspek perempuan berusia 15 tahun itu berdasarkan siasatan awal oleh pihaknya sepanjang suspek direman.

Katanya, bagaimanapun dapatan polis menerusi keterangan-keterangan diambil termasuk 10 nama pelajar dalam senarai yang tular dalam media sosial mendapati ia tidak menjurus kepada kejadian buli.

Isnin lalu, polis dilapor menahan seorang remaja perempuan tingkatan tiga selepas didakwa menikam rakan sekelasnya di sekolah berkenaan dalam kejadian antara pukul 9.30 hingga 10 pagi.

Remaja yang menghidap autisme itu kemudian dibenarkan ditahan reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di Telok Datuk bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN