KUALA LANGAT: Remaja perempuan yang menikam rakan sekelasnya dekat sebuah sekolah menengah di Banting tiba di Mahkamah Telok Datok, di sini, hari ini bagi menghadapi pertuduhannya.
Pelajar berusia 15 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Telok Datok kira-kira pukul 8.32 pagi tadi menaiki sebuah Perodua Aruz berwarna perak diiringi pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, suspek remaja mendakwa menjadi mangsa buli kawan-kawannya termasuk seorang mangsa tikamannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dakwaan tersebut dinyatakan suspek perempuan berusia 15 tahun itu berdasarkan siasatan awal oleh pihaknya sepanjang suspek direman.
Katanya, bagaimanapun dapatan polis menerusi keterangan-keterangan diambil termasuk 10 nama pelajar dalam senarai yang tular dalam media sosial mendapati ia tidak menjurus kepada kejadian buli.
Isnin lalu, polis dilapor menahan seorang remaja perempuan tingkatan tiga selepas didakwa menikam rakan sekelasnya di sekolah berkenaan dalam kejadian antara pukul 9.30 hingga 10 pagi.
Remaja yang menghidap autisme itu kemudian dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga esok oleh Mahkamah Majistret di Telok Datuk bagi membantu siasatan. – UTUSAN










