Bekas juruteknik TNB mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Bekas juruteknik TNB mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

ABDUL Hadee Ahmad (kiri) dituduh mengemukakan tuntutan palsu bagi pembayaran kerja-kerja penyelenggaraan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembayaran kerja-kerja penyelenggaraan berjumlah RM19,301.70, empat tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Hadee Ahmad, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu iaitu Laporan Kerja Service Express and LKKK SAVR Over Head/Underground TNB Bidor atas nama syarikat ZG Engineering Sdn. Bhd. bagi bulan April 2020 berjumlah RM19,301.70

Perbuatan tertuduh itu dengan niat bagi memperdayakan prinsipalnya iaitu TNB di mana kerja-kerja penyelenggaraan itu dijalankan oleh pekerja TNB sendiri dan bukannya syarikat berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat TNB Cawangan Bidor dalam daerah Batang Padang pada 28 Oktober 2020.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Pada prosiding sama, bapa kepada tiga anak itu juga didakwa dengan pertuduhan pilihan iaitu dengan curang telah memperdayakan TNB untuk membuat pembayaran kepada syarikat sama bagi kerja-kerja yang tidak dilakukan pada tempat dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Sharul Azuan Ghazali mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh beserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid mewakili Abdul Hadee memohon jumlah jaminan RM5,000 dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan lelaki itu mempunyai tiga anak dengan dua daripadanya adalah kanak-kanak autism.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×