SHAH ALAM : Penyanyi, Shiha Zikir, 36, mengakui busana perkahwinannya sudah siap sejak tiga tahun lalu meskipun belum menetapkan tarikh sebenar majlis pernikahannya dengan kekasih, Kamarul Arifin Baharun atau Arul.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Shiha berkata, busana tersebut telah dihasilkan oleh pereka fesyen yang juga sahabatnya, Dwenraha, yang sejak dari awal menawarkan diri untuk berbuat demikian.
“Saya sebenarnya okey sahaja kalau jodoh itu sampi cepat termasuk jika segala perancangan juga berjalan seperti yang diinginkan. Tapi ada benda yang perlu saya fokus dulu.
“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang kita pun memang nak percepatkan majlis. Sahabat saya, Dwenraha kata tak mengapalah, dia buat sahaja dulu busana itu supaya senang.
“Tapi tak tahu bila tarikh majlis perkahwinan kami ini. Rasanya nanti kalau betul nak kahwin, kena buat yang baharulah baju pengantin kami,” katanya.
Selain itu, kata Shiha, memandangkan seringkali memberikan jawapan yang sama setiap kali ditanya pihak media, dia mengakui berasa segan untuk mencanangkan mengenai perkara tersebut.
“Bila orang tanya pasal kahwin, saya sebenarnya risau nak jawab. Saya takut buat orang jemu dengan jawapan saya.
“Terus-terang, saya memang tak ada jawapan lain mengenai hal kahwin ini. Saya memang tunggu waktu yang tepat sahaja. Saya cuma percayakan itu,” katanya.
Shiha mula menjalinkan hubungan cinta dengan Arul yang juga pengurusnya sejak 13 tahun lalu.
Disebabkan mereka sering bersama, warganet dan peminat juga kerap bertanya mengenai sejauh mana mereka serius membawa hubungan tersebut ke fasa perkahwinan.











