NIBONG TEBAL : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis hari ini selepas bahan kempen Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Bandar Tasek Mutiara didakwa telah disabotaj pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua AMK negeri, Muhammad Fadzli Roslan mendakwa, sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera yang dipasang telah diturunkan oleh beberapa individu dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
Katanya, beliau dan pasukannya (AMK) menjalankan rondaan di Jentera Daerah Mengundi (JDM) Puteri Gunung dan ternampak beberapa individu berpakaian awam sedang memasang bendera Perikatan Nasional (PN) di sekitar persimpangan Bandar Tasek Mutiara.
“Lanjutan daripada itu, kami meneruskan lagi rondaan sebelum mendapati beberapa bahan kempen yang dipasang petugas-petugas PH telah pun dirosakkan dan diganti dengan bendera atau gegantung daripada PN.
“Ada gegantung yang ditarik daripada pokok, ada bendera yang dicabut dan diletakkan di bawah malah ada yang dibuang ke dalam longkang.
“Justeru, kita telah menyerahkan segala bahan bukti dan gambar-gambar berkatan kepada pihak polis untuk siastan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di Jawi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak terutamanya anak muda menjalankan kempen secara sihat dan berhemah.
“Kami juga mengambil pendekatan mudah iaitu tidak perlu membuat sebarang provokasi sebaliknya terus membuat laporan polis berhubung kejadian ini supaya siasatan telus dapat dijalankan,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai nanti menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili PN.-UTUSAN










