KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mahu menarik lebih ramai anggota baharu daripada kalangan bakat-bakat terbaik bagi menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk kesediaan berdepan cabaran serta ancaman baharu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cabaran pertahanan dan kedaulatan negara sudah menjadi semakin rumit, dengan cara serta pendekatan yang tidak diduga.
Kata beliau, penyertaan ke Five Power Defence Arrangements (FPDA) dan Shangri La Dialogue 2024 mengukuhkan keyakinannya untuk terus memberi perhatian kepada pelbagai bentuk ancaman dan cabaran baharu pertahanan.
“Hampir semua Menteri Pertahanan dari pelbagai negara yang saya temui mengakui keperluan dan kepentingan untuk mengukuhkan ketumbukan pertahanan dengan pelbagai jenis ilmu, kemahiran serta keupayaan.
“Berbekalkan realiti itu, MINDEF dan ATM mahu memberi perhatian kepada usaha mengumpul bakat-bakat terbaik. Kita mahu seramai mungkin dalam pelbagai bidang di luar sana menyertai (ATM),” katanya berucap di Majlis Penyampaian Bantuan IPTA dan Universiti Luar Negara Tahun 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan bantuan pendidikan kepada seramai 94 pelajar IPTA dan ULN yang menyaksikan setiap seorang mendapat antara RM1,000 ke RM2,000.
Dalam majlis sama, beliau turut menyaksikan penyampaian sumbangan mock cheque bagi Program Sentuhan Elit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sebanyak RM295,704 daripada ILTIZAM by Ekuinas.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, dengan mempunyai bakat terbaik, maka pelbagai keperluan dan cabaran pertahanan masa depan dapat diuruskan dengan berkesan.
“Jadi, kita harap pengiktirafan kecemerlangan pendidikan seperti ini dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada semua pihak bahawa MINDEF dan ATM mahukan bakat terbaik menyertai pasukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemberian insentif pendidikan dibuat kerana pihaknya percaya ia merupakan satu bentuk pelaburan ke atas benteng pertahanan jangka panjang.
Jelasnya, dengan memberi fokus kepada usaha melahirkan generasi masa hadapan yang pintar ia dipercayai dapat menyumbang kepada negara melalui pembangunan dan kemajuan bakat.
“Secara tidak langsung, perkara tersebut sebenarnya akan turut menyumbang kepada keutuhan pertahanan negara.
“Ini kerana, apabila generasi masa hadapan adalah berpendidikan tinggi, pintar dan berilmu maka lebih mudah untuk kita meneruskan agenda pertahanan serta kedaulatan negara,” katanya. –UTUSAN










