Anwar, Muhyiddin setuju henti pertikaian peribadi

Anwar, Muhyiddin setuju henti pertikaian peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setuju menghentikan pertikaian peribadi antara mereka serta prosiding mahkamah bagi mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

Melalui kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan kesan saman fitnah kepada umum dan mengambil kira saranan Hakim Mahkamah Tinggi.

Jelas kenyataan itu, Anwar dan Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah yang terlibat.

Malah, jelasnya, kedua-dua pemimpin turut berharap keputusan mereka dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak.

“Anwar dan Mahiaddin (Muhyiddin) turut bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan terkait perkara ini.

“Anwar dan Mahiaddin berharap agar perkara ini tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara,” jelas kenyataan itu.

Pada 20 Disember 2022, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap muhyiddin berhubung dakwaan menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim, Kedah.

Pada 28 Julai 2023, Muhyiddin pula memfailkan saman terhadap Anwar atas dakwaan menyampaikan ucapan berbaur fitnah berkaitan isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bernilai RM8.3 bilion.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×