PETALING JAYA: Semua keluarga penghuni penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney dibenarkan melawat ahli keluarganya pada hari ketiga dan keempat Hari Raya Aidiladha.
Jabatan Penjara Malaysia berkata, pihaknya membenarkan dua kaedah perjumpaan iaitu secara bersemuka dan secara atas talian berdasarkan syarat-syarat yang tertentu.
“Syarat lawatan secara bersemuka dengan banduan, tahanan atau penghuni adalah waktunya bermula pukul 8.15 pagi hingga 4.15 petang. Pelawat diminta membawa Kad Lawatan dan kad pengenalan bagi memudahkan urusan.
“Pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni sebaliknya boleh membeli dari kantin penjara dan keutamaan lawatan diberikan kepada penghuni beragama Islam sahaja.
“Pelawat tidak digalakkan memberi wang. Sekiranya ingin memberikan wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya sila dapatkan resit rasmi PPT 28 sebagai akuan penerimaan.
“Terakhir, pelawat tertakluk kepada akta dan peraturan penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika masuk dan keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, kenyataan sama menambah, bagi perjumpaan secara dalam talian akan dilaksanakan untuk tempoh tiga hari iaitu bermula 19 hingga 21 Jun.
“Ini bertujuan bagi memberi peluang kepada keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk perjumpaan bersemuka,” katanya. – UTUSAN










