11,544 pesakit terima rawatan di pusat rehabilitasi Perkeso pulih - Utusan Malaysia

11,544 pesakit terima rawatan di pusat rehabilitasi Perkeso pulih

MOHAMAD Faznin Jamaluddin (tengah) meninjau proses pemulihan salah seorang pesakit selepas Program Jelajah Sedekad Pusat Rehabilitasi Perkeso di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 11,544 pesakit atau 68 peratus daripada 16,963 yang menerima rawatan di pusat rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya pulih sepenuhnya.

Timbalan Pengarah Pusat Rehabilitasi Perkeso (PRP) Tun Abdul Razak, Dr. Mohd. Nizam Jamaluddin berkata, jumlah itu melibatkan pesakit yang kembali bekerja dan mampu menguruskan diri sendiri.

Menurut beliau, golongan pesakit yang menerima rawatan di PRP bukan sahaja terdiri daripada golongan yang mencarum dengan Perkeso bahkan juga mereka yang bukan pencarum.

“Terdapat empat pusat satelit iaitu PRP Tun Abdul Razak di Melaka, Quill City Mall Kuala Lumpur, Pusat Perubatan MSU Shah Alam, Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor dan Hotel Permai, Kuala Terengganu.

“Sejak 2014, seramai 16,963 pesakit dirawat di empat PRP itu dengan 68 peratus daripadanya telah pulih iaitu dapat kembali meneruskan pekerjaan atau sekurang-kurangnya boleh berdikari.

“Perkeso akan terus memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan penyediaan perlindungan inklusif termasuk perkhidmatan rawatan di pusat rehabilitasi agar pesakit dapat kembali pulih,” katanya.

Mohd. Nizam berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah Sedekad Pusat Rehabilitasi Perkeso di PRP Hotel Permai, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, siri jelajah berkenaan memberi peluang peserta telibat melihat demonstrasi pelbagai kelengkapan pemulihan di PRP seperti alat bantu jalan serta peralatan prostetik dan ortotik.

“PRP ialah satu-satunya pusat rehabilitasi di rantau ini yang mengintegrasikan rehabilitasi perubatan dan latihan vokasional holistik dengan kemudahan berteknologi tinggi serta progam ‘Return to Work’.

“Ini bagi membolehkan pesakit yang dilanda bencana mampu pulih sepenuhnya untuk menguruskan diri atau kembali meneruskan pekerjaan masing-masing,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN