KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 filem terbaik dari Malaysia dan China akan ditayangkan di pawagam Dadi Cinema Pavillion Kuala Lumpur sempena Festival Budaya Filem China-Malaysia bermula Jumaat ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, festival itu diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dengan menggunakan filem sebagai medium pertukaran budaya.
“Filem, bukan sahaja menceritakan kisah yang menarik, tetapi membolehkan kita meningkatkan persefahaman dan persahabatan melalui budaya.
“Pertukaran budaya ini dapat dilihat menerusi filem Rain Town oleh pengarah Melayu Tunku Mona Riza yang memberi tumpuan kepada kisah keluarga Cina.
“Kejayaan filem pecah panggung Sheriff: Narko Integriti arahan Syafiq Yusof yang ditayang di Hong Kong pada 6 Jun lalu, turut menjadikan salah satu tarikan kepada festival ini,” katanya.
Nie Ching ditemui semasa majlis perasmian Festival Budaya Filem Malaysia-China di Dadi Cinema Pavillion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, menurut penganjur, Aron Koh, acara tersebut adalah salah satu usaha untuk meluaskan kerjasama industri perfileman antara dua negara.
“Melalui festival filem seperti ini, kami amat berharap dapat memperkenal kepada penonton filem terbaik yang diterbitkan oleh China dan Malaysia.
“Selain menggalakkan promosi filem, ini sekali gus memudahkan pertukaran antara pembikin filem yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Festival budaya ini tidak berjalan sebelah pihak. Kami juga akan mengadakan majlis yang sama di China dan menayangkan produk anak seni kita di sana September ini,” katanya.
Antara filem yang terpilih untuk ditayangkan sepanjang tiga hari festival ialah Victim, Roh, The Movie Emperor, One and Only, Small Town Heros, Creation of The God I: Kingdom of Storms, No More Bets, Prebet Sapi, Sherif: Narko Integriti, Born To Fly dan The Wandering Earth 2.
Terdapat juga sesi forum yang yang berlangsung secara percuma pada 22 Jun dan 23 Jun melibatkan pengarah dan pengkritik filem Hassan Muthalib dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman.
Untuk rekod, Bajet 2024 turut memperuntukkan Insentif Filem di Malaysia (FIMI) sebanyak RM90 juta bagi menggalakkan penghasilan filem berkualiti tinggi.
Pembikin filem turut memohon rebat tunai tambahan sebanyak 5 peratus sekiranya kandungan filem berkaitan dengan budaya tempatan. –UTUSAN










