Kalau sebut pasal Threads sekarang, memang macam-macam ragam boleh ditemui. Ada yang berkongsi cerita harian, ada yang berdebat isu semasa, dan ada juga sekadar singgah meninggalkan komen mencuit hati.
Rasanya, kalau Cik Bunga hendak bagi anugerah tidak rasmi Ketua Rajin Komen, rasanya pelakon Zila Bakarin memang antara calon paling layak! Untuk kategori wanitalah sebab kategori lelaki, Kamal Adli sudah pegang.
Entah macam mana, setiap kali Cik Bunga menjelajah Threads, mesti terserempak dengan komen Zila. Tak kisahlah topiknya pasal hiburan, kehidupan, makanan atau apa sahaja yang sedang tular, ada sahaja buah fikirannya yang mencelah di ruangan komen.
Yang seronoknya, kebanyakan komen Zila bukanlah jenis mahu mengundang kontroversi. Sebaliknya, banyak yang mencuit hati dan menyerlahkan sisi humor yang mungkin ramai tidak pernah lihat sebelum ini.
Kadang-kadang ringkas sahaja ayatnya, tetapi boleh buat orang yang membaca tersenyum sendiri.
Bagi Cik Bunga, tidak salah pun mahu memeriahkan suasana di media sosial. Selagi tahu menjaga batas, tidak melampau dan tidak membuatkan orang lain berkecil hati, apa salahnya berkongsi pendapat atau bergurau senda.
Malah, secara tidak langsung, keaktifan Zila di Threads mungkin membuka ruang kepada generasi muda, khususnya Gen Z dan Gen Alpha, untuk lebih mengenali dirinya sebagai antara artis tanah air yang sudah lama mewarnai industri hiburan.
Biasalah, zaman sekarang bukan sekadar muncul di televisyen atau filem sahaja. Kadang-kadang, personaliti seseorang lebih menyerlah menerusi interaksi santai di media sosial.
Apa pun, teruskanlah menjadi warga Threads yang menceriakan suasana. Asalkan komen itu membawa senyuman, bukannya mencetuskan pergaduhan, rasanya tiada siapa yang akan membantah. Betul tak?










