PETALING JAYA: Titik kesatuan dalam agama perlu menjadi fokus bagi mewujudkan keharmonian dalam masyarakat di seluruh negara.
Menegaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia adalah usaha untuk pemimpin agama menyelesaikan krisis, sekali gus mempromosikan perdamaian.
Menurut beliau, meskipun terdapat perbezaan di antara agama, etnik dan budaya, namun beliau yakin matlamat tersebut dapat dicapai menerusi persidangan kali ini.
“Dalam usaha mencapai matlamat itu, solidariti perlu diperkukuhkan antara saudara-saudara rakyat dan budaya serta menangani cabaran dan memerangi keganasan, intoleransi dan diskriminasi rasial,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di Sunway Resort Hotel, di sini, hari ini.
Untuk peringkat permulaan, kata Na’im, aspek praktikal dan nilai-nilai agama berteraskan sejarah ketamadunan Islam perlu ditonjolkan.
“Aspek praktikal tentang tajuk sejarah Mekah perlu diketengahkan sebagai permulaan untuk bantuan kemanusiaan.
“Nilai-nilai agama global juga perlu ditekankan terutamanya prinsip-prinsip manusia yang bertujuan untuk mencapai warganegara berpengetahuan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap persidangan yang berlangsung dapat membuka jalan yang lebih luas dalam mencipta kefahaman yang lebih baik dalam kalangan pemimpin agama dan seluruh dunia demi jaminan masa depan.- UTUSAN










