KUCHING: Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita National Malaysia (BERNAMA) akan menampung caruman PERKESO untuk semua wartawan sambilan bagi tempoh satu tahun.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan data Jabatan Penerangan, 565 pengamal media yang berdaftar adalah bertaraf sambilan.
Katanya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesahkan, 538 daripadanya tiada caruman PERKESO, namun layak didaftarkan. Wartawan sambilan yang dimaksudkan adalah pengamal media “part time all the time”.
“Sukacita saya umumkan, bermula 1 Julai 2024, Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) akan menampung caruman PERKESO untuk kesemua pengamal media dalam kategori tersebut bagi tempoh satu tahun.
“Ini bermaksud, untuk tahun pertama caruman, ia ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA,” jelas Fahmi berucap di Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024, di Hotel Waterfront di sini, hari ini.
Justeru itu, beliau menggesa agar semua organisasi media mengemaskini data masing-masing bagi memudahkan bantuan disalurkan oleh kementeriannya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, kementeriannya menghargai pengorbanan rakan-rakan media sepanjang perkhidmatan mereka.
“Insya-Allah tahun ini pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar yang dinamakan Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media akan dilaksanakan untuk tahun kedua pada Bulan Kebangsaan nanti.
“Selain itu, Kementerian Komunikasi kini di peringkat akhir merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia yang berperanan sebagai badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.
“Kerajaan dalam proses menyediakan analisis impak Draf Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMC) kepada industri media sebelum dibentangkan di Parlimen, insya-Allah Oktober tahun ini,” katanya. – UTUSAN










