BUTTERWORTH: Kementerian Komunikasi komited membantu industri media yang berdepan pelbagai tekanan termasuk daripada segi ekonomi sehingga menjejaskan operasi mereka.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil mengakui, isu ekonomi memberikan tekanan besar kepada syarikat-syarikat media ini terutamanya apabila platform-platform media sosial mereka tidak banyak membantu untuk menjana pendapatan syarikat.
“Ada dalam kalangan syarikat media, platform media sosial mereka tidak membantu sama ada daripada segi imbuhan ataupun bayaran yang setimpal dengan jumlah kandungan disiar. Begitu juga dengan jumlah tontonan atau pembaca yang mendapatkan maklumat yang dijana dan dihasilkan oleh media arus perdana ini tetapi diletakkan dalam media sosial.
“Saya harap Majlis Media Malaysia (MMM) boleh mengadakan perbincangan dengan platform-platform media sosial di pihak kerajaan (media sosial arus perdana) bahawa kami bersedia untuk membantu dalam proses ini.
“Tetapi, penting untuk platform-platform media sosial memahami bahawa perubahan-perubahan yang sedang berlaku, termasuk sebaran berita palsu, kandungan yang bersifat pindaan dan laporan tertentu khusus, contoh laporan berkaitan tingkah laku bunuh diri dan sebagainya,” katanya ketika menghadiri sesi Dialog Menteri Komunikasi dan Media Sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2026 di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi MMM, Tan Sri Nallini Pathmanathan.
Mengenai isu pemberhentian pekerja susulan perubahan penguasaan media sosial dalam kalangan syarikat media, Fahmi berkata, kerajaan sedaya upaya mencari penyelesaian dalam menangani permasalahan tersebut.
“Nak buat apa-apa (keputusan) yang melibatkan pekerja itu, datang jumpa saya dulu dan saya tengok macam mana saya boleh buat (bantu). Kalau Telco (syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi) yang besar pun saya bantu, apatah lagi rakan-rakan media ini.
“Jadi, boleh beritahu kepada saya (jika ada masalah). Tetapi, janganlah esok nak umum (pemberhentian pekerja) hari ini baru nak beritahu. Janganlah,” katanya yang turut merujuk kepada pemegang taruh berkaitan. – UTUSAN











